Malaysia Dateline

10,972 kes hari ini, Selangor catat rekod terendah selepas enam hari

Kes baharu Covid-19 hari ini menunjukkan sedikit peningkatan kepada 10,972 kes berbanding 10,710 kes semalam.

Walau bagaimanapun, angka tersebut masih lagi rendah berbanding rekod antara 11,000 hingga lebih 13,000 kes minggu lalu.

Pertambahan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak membawa maut itu berjumlah 927,533 kes.

Selangor kekal negeri paling teruk terpukul dengan badai Covid-19 apabila sejumlah 4,404 kes lagi dikesan hari ini sekali gus kumulatif kes di negeri itu kini mencecah 326,823 kes.

Namun, data jangkitan hari ini di Selangor adalah terendah selepas enam hari mencatatkan antara 5,000 hingga lebih 6,000 kes.

Selain Selangor, Negeri Sembilan juga berada dalam senarai negeri lima angka kes harian Covid-19 sejak 13 Julai lalu.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Negeri Sembilan merekodkan 1,340 kes menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan pandemik di negeri itu sebanyak 62,369 kes.

Sementara itu, sebanyak 876 kes baharu Covid-19 dilapor di Johor sekali gus peningkatan kes harian untuk lima hari berturut-turut.

Terdapat 705 kes pula dikesan di Kedah yang sejak 5 Julai lalu berada dalam senarai negeri yang beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Untuk rekod, seminggu sebelum Kedah masuk dalam fasa kedua PPN, kes harian di negeri utara tanah air itu adalah sekitar 100 hingga 300 kes.

Dua negeri dan wilayah mencatatkan lebih 600 kes iaitu Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing 651 kes dan 609 kes

Sabah sejak tiga hari lalu kekal mencatatkan sekitar 600 kes baharu manakala rekod Kuala Lumpur hari ini adalah penurunan untuk dua hari berturut-turut selepas mencatatkan empat angka kes harian.

Tiga negeri lagi dilapor mempunyai lebih 400 kes hari ini iaitu Pahang dengan 475 kes, Melaka (474 kes) dan Pulau Pinang 426 kes.

Lebih 300 kes baharu pula dikesan di Perak dan Sarawak masing-masing 324 kes dan 301 kes.

Bagi dua negeri berjiran di Pantai Timur Semenanjung pula, Kelantan dan Terengganu merekodkan lebih 100 kes masing-masing 170 kes dan 144 kes.

Tiga negeri dan wilayah dengan populasi penduduk yang rendah mencatatkan kurang 100 kes hari ini iaitu Putrajaya dengan 48 kes dan Labuan (24 kes) manakala hanya satu kes baharu dikesan di Perlis.