11 ahli MMK, tiga ex-officio Kelantan terima pemberian khas RM50,000

11 ahli MMK, tiga ex-officio Kelantan terima pemberian khas RM50,000

Sebanyak 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kelantan dan tiga ahli ex-officionya menerima pemberian khas sebanyak RM50,000 seorang, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata pemberian khas itu diberikan kepada anggota pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan pencapaian pendapatan tahunan kerajaan negeri.

“Tahun lepas ada juga sikit (pemberian khas) sebab kami ikut pencapaian ‘pendapatan’ kerajaan (negeri). Mungkin tahun depan tak ada,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ditanya adakah pemberian khas itu menggunakan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM400 juta yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Kelantan pada hujung tahun lepas, beliau berkata wang berkenaan masih belum digunakan.

“Duit (RM400 juta) tu tak usik pun lagi, jadi tak berbangkitlah perkara ini …pemberian ‘one-off’ ini bukan selalu kita (kerajaan negeri) dapat jadi kita kena manfaatkan untuk kepentingan rakyat. Kita akan perincikan program dan masa itu kita akan umumkan kepada rakyat kita nak buat apa (dengan wang RM400 juta itu),” katanya.

Beberapa portal berita hari ini melaporkan pemberian khas sehingga RM50,000 seorang kepada barisan pimpinan kerajaan negeri yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri.

Ketika belum reda isu pembelian 14 buah Mercedes Benz oleh kerajaan Kelantan, pemberian khas itu dipersoalkan kerana jauh beza dengan yang diperoleh pegawai dan kakitangan negeri itu yang menerima bayaran tambahan RM500, menjadikan keseluruhan RM1,000 seorang.

Pemberian khas itu akan diterima minggu kedua bulan ini sekali dengan pemberian tambahan yang diterima kakitangan kerajaan negeri.

— BERNAMA