11 bukti ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ masih teka-teki

11 bukti ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ masih teka-teki

 

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada semalam yang mengekalkan tema tahun lalu iaitu 'Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera' masih menjadi teka-teki daripada segi makna kepada penghuninya terutama di sekitar Kuala Lumpur.

Perumahan sedia ada gagal diselenggara, penempatan baru mampu milik tidak ditambah.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini masih mengekalkan tema tahun lalu iaitu ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’. Walau bagaimanapun, tinjauan Malaysia Dateline di sekitar Chow Kit dan Bangsar serta temubual penduduk setempat pada pagi warga kota bercuti 1 Februari mendapati tema tersebut masih menjadi teka-teki daripada segi maknanya kepada penghuninya. Masalah berkaitan infrastruktur dan sosio-budaya dilihat menjadi isu kritikal terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Berikut disenaraikan 11 bukti perlunya Menteri Wilayah Persekutuan, jabatan kerajaan berkaitan serta masyarakat di ibu kota memperbaiki kepincangan yang wujud bagi benar-benar menjadikan ibu negara bersih, sihat, selamat dan sejahtera bukan sahaja kepada penghuninya bahkan keseluruhan rakyat negara ini:

1. Sampah dibuang tidak diselengara dengan baik

Hari Wilayah Persekutuan membawa tema ceria tetapi sampah masih bersepah di Chow Kit.

Bungkusan sampah bertaburan masih ketara di sekitar deretan kedai di Chow Kit termasuk di sekitar belakang Pejabat Agung Pas. Timbunan pakaian dan bantal lama boleh ditemui di beberapa lokasi dipercayai dibuang penghuni bilik sewa harian di kawasan itu. Di padang Pangsapuri KTMB Bangsar Utama, sekumpulan kanak-kanak bermain bola sepak berdekatan longgokan sampah.

2. Ancaman wabak demam denggi

Mahu rakyat sejahtera tetapi ancaman denggi berleluasa.

Penghuni di penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) terdedah pada ancaman wabak demam denggi akibat masalah pengurusan sampah. Di Pangsapuri KTMB Bangsar Utama juga dapat dilihat kain rentang yang memberi amaran berkenaan wabak yang boleh meragut nyawa itu. Faktor kepadatan tinggi penduduk di kawasan flat kos rendah seperti di Parlimen Segambut, Bandar Tun Razak dan Setiawangsa menyaksikan berlaku 7,833 kes demam denggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setakat November 2016.

3. Kenderaan berisiko dicuri

Penduduk PPR di Wilayah Persekutuan bimbang keselamatan motosikal mereka.

Motosikal kapcai yang menjadi kenderaan utama golongan miskin di ibu kota terdedah kepada risiko kecurian yang dilakukan ‘budak motor’ bukannya ‘budak dadah’ seperti didakwa. Di flat 16 tingkat Sri Pahang di Bangsar, beberapa penduduk memberitahu kecurian motor bukan satu perkara yang asing. Dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) tetapi pihak pengurusan blok didakwa enggan bekerjasama untuk menyiasat aduan penduduk berhubung kecurian motor dialami. Deretan motor dipercayai tidak mempunyai pelekat penghuni kediaman turut dilihat bersusun di luar pagar Pangsapuri KTMB sekaligus terdedah kepada jenayah curi.

4. Infrastruktur membahayakan keselamatan

 Lokasi di Blok 2 PPR Sri Pahang menghala ke Klinik Ibu dan Anak ini  permukaan lantainya mudah menyebabkan penghuni jatuh jika basah.

Tiada jaminan keselamatan untuk penghuni ibu kota di flat kos rendah apabila permukaan lantai mudah menjadi licin terutama ketika hari hujan. Aktiviti mencuci di tingkat atas yang menyebabkan air basuhan bercampur buih sabun mencurah ke bawah memburukkan lagi keadaan. Misalnya, di Blok 2 PPR Sri Pahang, bukan sedikit kes penghuni lazimnya warga emas dan ibu hamil terjatuh akibat laluan licin menuju ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak yang terletak di tingkat bawah flat yang dibuka sejak 1975 itu.

5. Penguatkuasaan, penyelenggaraan lemah

Pengguna di Jalan Raja Bot berang apabila trafik terhalang akibat kereta berhenti di bahu jalan.

Teriakan hon dan suara penunggang motosikal yang marah terhadap pemilik kereta yang berhenti lama di perkarangan Pasar Jalan Raja Bot antara yang merwarnai pagi hari cuti 1 Februari. Walaupun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba menukar trafik di lokasi itu kepada sehala tetapi tanpa penguatkuasaan, majoriti pengguna jalan raya dilihat bersikap redah sahaja.

Curahan air dari tingkat atas akibat aktiviti mencuci berpunca daripada saluran bagi pembuangan air di tingkat tertentu tersumbat tetapi malangnya masalah itu didakwa agak lama tidak dibaiki. Penduduk PPR Sri Pahang juga mengadu hanya satu lif sahaja beroperasi di ketiga-tiga blok di perumahan 16 tingkat itu. Kerja-kerja membaiki juga dikatakan sedang berjalan bagi satu unit lif lagi sudah menjadi alasan yang  bertahun-tahun didengari.

6. Rendahnya kesedaran sivik

Pengguna kenderaan di Kuala Lumpur masih tidak mematuhi arahan lampu isyarat

Di persimpangan Jalan Sultan Ismail, kira-kira pukul 10 pagi Malaysia Dateline menyaksikan sendiri pengguna jalan raya tidak terkecuali pemilik kereta mewah tetap meluncur laju ketika lampu isyarat sudah bertukar kepada warna kuning. Sebelum ini, lokasi sama juga berlakunya beberapa kes kemalangan kecil akibat pengguna kenderaan yang tidak mematuhi lampu isyarat selain menukar arah secara melulu. Pengguna motosikal paling tinggi terdedah kepada kemalangan di sekitar ibu negara.

7. Jalan tidak sempurna diturap

Jalan rosak mengundang bahaya kepada pengguna basikal dan motosikal.

Sebahagian jalan raya berturap di Kuala Lumpur tidak sempurna dengan permukaan tidak rata dan berlubang sekaligus membahayakan pengguna khususnya penunggang motosikal. Antara laluan yang dianggap mempunyai banyak taburan ‘periuk api’ ini seperti di Jalan Bangsar berdekatan Muzium Negara menghala ke ibu negara serta di jalan sekitar Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur. Tidak terkecuali di Jalan Tunku Abdu Rahman bermula dari Hospital Kuala Lumpur. Di Jalan Tun Tan Cheng Lock dekat Pejabat Pos Besar ironinya, wujud simbol basikal menandakan laluan untuk aktiviti sikal yang betul-betul dilukis di sebelah lubang yang agak besar diameternya.

8. Sungai Klang, Gombak terus keruh

Persekitaran tidak terurus di tebing Sungai Klang yang masih bergelut dengan projek RoL.

Walaupun projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) dilapor menelan kos RM4 bilion melalui beberapa fasa tetapi kekeruhan Sungai Klang yang bertemu dengan Sungai Gombak di Masjid Jamek masih keruh seperti dulu. Papan pelaksanaan cadangan kerja-kerja pengindahan sungai dekat Pejabat Pos Besar juga sudah lusuh dengan tertera “Projek Kerajaan Malaysia” itu sepatutnya siap pada 9 September 2015. Namun, lokasi sekitar yang juga menjadi antara tumpuan pelancong asing berjalan kaki itu bersepah dengan bahan binaan, longgokan batu dan kepingan kayu.

9. Contengan menjolok mata

Aktiviti vandalisme tambah mencacatkan keindahan ibu negara.

Menempuh Jalan Tun Tan Cheng Lock dari Brickfields, pandangan ke arah hentian LRT Pasar Seni dicemari contengan akibat aktiviti vandalisme. Singgah di persekitaran stesen itu dapat dilihat lebih banyak contengan di dinding bangunan kedai menghadap tapak projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).

10. Masalah gelandangan  

 Kaki lima di Kuala Lumpur masih lagi menjadi tumpuan gelandangan.

Komuniti gelandangan dilihat terus bertambah ketika pelbagai kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) muncul membantu golongan yang menjadikan kaki lima sebagai kediaman mereka. Sekitar pukul 11 pagi pada cuti 1 Februari dapat dilihat beberapa individu gelandangan duduk-duduk bersama beg dan bungkusan barangan mereka berdekatan gerbang Jalan Melayu berdepan kedai serbaneka 7E. Waktu malam menyaksikan lebih ramai golongan ini berbaris mendapatkan makanan dan pelbagai sumbangan lain.

11. Perumahan mampu milik generasi kedua

Projek mega lagi mewah di Pantai Dalam terus mengusir masyarakat miskin bandar.

Ribuan golongan muda di sekitar ibu kota yang lahir dan membesar di kawasan penempatan kos rendah hari ini berdepan dilema untuk memiliki kediaman mampu milik sebaik mereka berkerja dan berkeluarga. Selepas generasi ayah atau datuk mereka tinggal di perumahan bandaraya, mereka majoritinya masih memerlukan kediaman kos mampu milik serta pada masa sama tidak jauh dari tempat kerja.

Lokasi penempatan yang menjadi tumpuan masyarakat kota berpendapatan rendah sebelum ini seperti di Kampung Abdullah Hukum, Bangsar dan Pantai Dalam bahkan tapak Flat Pekeliling berhampiran Hospital Kuala Lumpur semakin hari digantikan dengan projek apartment servis, komersial dan prasarana pengangkutan. Di Parlimen Lembah Pantai, majlis perasmian Residensi Kerinchi pada 27 Februari ini menyaksikan tawaran unit kediaman yang di luar kemampuan generasi muda yang sebelum ini menghuni di Flat Empat Tingkat Kerinchi yang dirobohkan bagi membina unit mewah itu.

TAGS