Malaysia Dateline

11 Cawangan AMANAH di Beting Maro diluluskan ROS

Parti AMANAH Sarawak terus mendapat sokongan apabila 11 Cawangan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro telah diluluskan oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) baru-baru ini.

Menurut Ketua Penaja AMANAH Kawasan Batang Lupar, Haji Kassim Rosli (gambar atas), kesemuanya 32 cawangan bakal ditubuhkan di Beting Maro yang mana 11 cawangan telah mendapat ROS manakala bakinya masih dalam proses menunggu kelulusan.

Katanya, cawangan yang ditubuhkan itu adalah terdiri dari kampung-kampung di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun)Beting Maro iaitu Beladin, Pusa, Semarang, Sepinang, Tambak, Batang Maro dan Rumah Panjang Mutun.

“Alhamdulilah…setakat ini 11 daripada 32 Cawangan telah diluluskan sementara bakinya dalam proses menunggu.

“Ini membuktikan bahawa Parti AMANAH Negara semakin mendapat tempat di hati penduduk dan terus meraih sokongan daripada penduduk dan masyarakat di negeri ini.

“Justeru, saya amat yakin bahawa sokongan ini akan semakin meningkat dalam masa terdekat nanti,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Penajaan AMANAH Kawasan Batang Lupar di Kampung Beladin, Betong di sini semalam.

Pada mesyuarat itu, Haji Kassim telah dipilih sebagai Ketua Penaja Kawasan Batang Lupar dan di daftar di Ros menerusi AMANAH Nasional.

Beliau menambah, walaupun kawasan Batang Lupar masih dalam proses menunggu kelulusan, namun pihaknya tetap turun padang bagi mengadakan program dan aktiviti bagi mendekati penduduk dan masyarakat.

“In shaa Allah…kami pimpinan jawatankuasa penaja akan merancang dan melaksanakan program khususnya di 11 cawangan yang telah diluluskan dalam masa terdekat ini bagi memberi sesi penerangan kepada ahli-ahli.

“Selain itu, kami juga turut akan mengadakan aktiviti masyarakat bersama penduduk-penduduk kampung nanti,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, antara jawatankuasa penaja yang dipilih semalam ialah Tuanku Hadward Tuanku Sekeran sebagai Timbalan Ketua, Mohtada Dol (Naib 1), Haji Syarbini (Naib 2), Nashara Safudin(Setiausaha) dan Awang Sura(Bendahari).

Turut dipilih ialah Yazid Mas, Abdul Rahim Rosli, Saini Jaya, Ismail Ladi dan Suib Atim.

Hadir mengesahkan mesyuarat penajaan itu semalam ialah barisan kepimpinan negeri AMANAH Sarawak iaitu Timbalan dan Setiausahanya, Hud Andri Zulkarnaen dan Fadillah Sabali.