Malaysia Dateline

11 kes baharu positif Covid-19 di Semenanjung pulang dari Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan 11 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini dikesan selepas individu terbabit pulang dari Sabah yang dikategorikan sebagai “kawasan berisiko tinggi”.

Paling banyak kes saringan pulang dari Sabah yang melibatkan warganegara ialah Kuala Lumpur dengan tiga kes diikuti Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing dua kes.

Sementara itu, terdapat satu kes berkaitan individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah masing-masing di Selangor, Pahang, Melaka dan Johor, dipetik dari kenyataan KKM hari ini.

Kesemua kes itu antara 82 kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini dengan 79 daripadanya adalah kes jangkitan tempatan, manakala bakinya kes import.

Daripada 79 kes penularan tempatan itu, 64 kes daripadanya muncul di Sabah dengan Kluster Benteng LD dan Kluster Bangau-Bangau masing-masing merekodkan 33 dan 25 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara 20 hingga 25 September lalu sebanyak 10 kes positif dikesan sekembalinya individu terbabit dari Sabah.

Sehubungan itu, semua individu yang tiba dari Sabah, katanya, akan disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa, bermula esok hingga 10 Oktober depan.

Menurutnya, mereka terbabit diwajibkan memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera serta daftar masuk menggunakan aplikasi itu sejurus tiba di pintu masuk domestik dan antarabangsa di negara ini bagi memantau risiko penularan jangkitan.

Mereka juga, jelasnya, perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dengan kesemua individu terbabit akan diberi surat HSO dan dipakaikan gelang kuarantin.

“HSO akan bermula dari tarikh ketibaan mereka di kedua-dua pintu masuk itu sehingga keputusan makmal diperoleh,” katanya lagi.

Setakat semalan, terdapat empat daerah telah dikenal pasti sebagai Zon Merah Covid-19 iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Sementara itu, calon BN kerusi Dewan Undangan Negera (DUN) Pitas, Sufian Abdul Karim pada jam 11 pagi tadi telah mengesahkan dirinya positif Covid-19.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Muhammad Rafii dan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan juga dijangkiti Covid-19 sejurus pulang dari berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Razlan difahamkan berkempen di Sipitang manakala Shahril dikesan menemui pengundi termasuk ziarah warga emas di DUN Tanjung Batu pada 15 September lalu bersama calon BN, Andi Muhammad Suryady Bandy.