11 MP diberi peranan rangka Pelan Wilayah KL 2020-2040

11 MP diberi peranan rangka Pelan Wilayah KL 2020-2040

Majlis Menteri yang baharu dibentuk dianggotai 11 ahli Parlimen akan diberi peranan besar termasuk merangka pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040 bersama-sama menteri mereka Khalid Abd Samad.

Menurut Khalid kementeriannya akan bersama-sama merangka pelan Wilayah Kuala Lumpur sebelum penghujung 2019.

“Kita sama-sama terlibat dalam merangka pelan pembangunan yang baru. Sebelum 2020 kita akan
pamerkan pelan untuk persetujuan semua pihak sebelum ia digazetkan supaya ianya berlaku dengan telus,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Menteri Wilayah di
Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Beliau berkata, tujuan pengiktirafan diberikan kepada ahli Parlimen ini supaya mereka dapat memberi kerjasama kepada DBKL demi pembangunan dan kebaikan warga Kuala Lumpur.

“Kementerian Wilayah dan DBKL perlu memberi sokongan kepada semua MP kerana mereka adalah penghubung antara kerajaan dengan rakyat. Majlis ini satu entiti untuk pembaharuan dalam membantu kami membawa perubahan kepada warga bandaraya ini,” katanya.

Pelan tersebut katanya perlu bagi meneruskan perancangan pembangunan ibu kota dan mengatasi
kesesakan lalu lintas, seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan warga kota.

Katanya, pelan ini sepatutnya digazetkan lebih awal iaitu pada 2015, namun ia telah ditangguhkan.

“Hanya pelan struktur (Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020) yang diwartakan sebelum ini. Bila pelan tempatan (Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020) tak diwartakan, maka ada banyak kelonggaran berlaku dan dalam pentadbiran baharu ini kita akan wartakannya bagi menyelesaikan projek-projek yang didapati bercanggah dengan pelan tersebut,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS