11 Negara TPP tingkat dagangan ketika proses muktamadkan RCEP lembap

11 Negara TPP tingkat dagangan ketika proses muktamadkan RCEP lembap

Setelah Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), apakah pilihan yang ada ketika ini bagi 11 lagi negara yang merundingkannya?

Adakah mereka akan meneruskan TPP tanpa penyertaan AS  yang memperkenalkan perjanjian tersebut?

Persoalan itu dituju kepada 11 negara menyertai TPP iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Setiap negara telah melalui tempoh rundingan sukar selama lima tahun, justeru itu sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah untuk membiarkan sahaja konsensus yang telah dicapai, tambahan pula perjanjian itu menjanjikan masa depan lebih baik dari segi perdagangan dan ekonomi mereka masing-masing.

Contohnya, Singapura, sebuah ekonomi yang terlalu bergantung kepada permintaan luaran, mempunyai tiga langkah untuk melonjakkan perdagangan, dan satu daripadanya ialah 11 negara menyertai TPP  meneruskan perjanjian itu tanpa penglibatan US.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Lim Hng Kiang, dilaporkan berkata di Parlimen baru-baru ini bahawa beliau berpendapat semuanya adalah terpulang kepada perspektif negara masing-masing.

“Bagi sesetengah negara yang menyertai TPP, contohnya Singapura dan Australia, kita telah mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dengan AS. TPP akan memberi peningkatan akses pasaran kepada kita.

“Perdagangan dua hala utama kita dalam barangan dan perkhidmatan serta pelaburan dilindungi oleh FTA berkenaan. Jadi, setiap negara perlu menilai semula situasi itu,” katanya.

Pilihan lain bagi 11 negara  ialah merundingkan perjanjian dua hala, termasuk dengan AS.

Ini memandangkan negara maju pimpinan Presiden Donald Trump itu kini mahu melaksanakan lebih banyak perjanjian seperti itu berbanding yang bersifat penyertaan banyak pihak.

Pilihan seterusnya ialah TPP11 tetap meneruskan Perkongsian Trans-Pasifik dengan proses ratifikasi dan berharap pentadbiran US mengubah keputusan mereka sekali gus menyertai semula TPP, katanya dipetik sebagai berkata.

Trump telah menandatangani dekri untuk mengeluarkan US daripada perjanjian TPP pada akhir bulan lepas iaitu semasa hari pertama beliau memulakan tugas rasmi di White House.

Presiden itu berkata, TPP akan menjejaskan sektor pembuatan dan pengeluaran di US, dan menyebabkan rakyat negara itu hilang pekerjaan.

Perjanjian TPP telah dirundingkan sejak 2009, dan semasa tempoh Barack Obama memegang jawatan presiden. Rundingan berkenaan dimuktamadkan pada Oktober 2015.

Jika perjanjian TPP termasuk penyertaan US berkuat kuasa, ia menjadi perjanjian perdagangan serantau terbesar dalam sejarah, meliputi 40 peratus daripada ekonomi dunia.

Menurut Lim, proses untuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah perlahan berbanding jangkaan.

RCEP menjadi tumpuan berikutan kegagalan TPP selepas AS  menarik diri.

Usaha RCEP bertujuan menjadi platform dipimpin Asean dengan blok serantau itu akan memperluaskan dan mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan rakan FTA.

Rundingan RECEP, melibatkan Aseanbersama-sama Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand, bermula pada November 2012.

Ia sepatutanya dimuktamadkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun, namun rundingan antara ekonomi utama seperti China dan India mengambil masa yang lebih lama berbanding jangkaan, kata Lim yang dipetik sebagai berkata.

“Ia akan mengambil masa yang lebih panjang. Ini disebabkan kita berusaha memasukkan sekali FTA yang dimiliki ASEAN dengan pelbagai rakan dialog.

“Jadi, masalah atau cabaran, bukan di pihak ASEAN, memandangkan kita telah mempunyai FTA dengan rakan dialog yang sama.

“Cabarannya ialah rakan dialog tidak mempunyai FTA sesama mereka. Contoh, antara China dan India, tiada FTA. Mereka hadir pada pertama kali dan bayangkanlah keadaanya, dengan dua ekonomi besar ini bermula. Ini merupakan cabaran besar,” katanya.

Sementara itu, pada Disember 2016, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rundingan RCEP dijangka dimuktamadkan pada akhir 2017.

Beliau berkata, negara peserta akan berusaha mencapai kesepakatan dalam beberapa aspek termasuk pergerakan barangan semasa beberapa mesyuarat yang dijadualkan berlangsung tahun ini.

Perjanjian TPP melibatkan 12 negara dengan tempoh rundingan selama lima tahun. Sementara RCEP mempunyai 16 negara, oleh itu ia adalah lebih mencabar, katanya.

Mustapa berkata setakat ini, hanya dua daripada sejumlah 20 bahagian telah dimuktamadkan, termasuk berkaitan perusahaan kecil dan sederhana.

“Para pemimpin meletakkan sasaran untuk kami memuktamadkan rundingan itu dan sekali gus memberi tekanan kepada kami untuk lebih gigih. Bagaimanapun, kami telah tersasar, memandangkan ia adalah satu cita-cita tinggi,” katanya.