Malaysia Dateline

11 pelajar buli pelajar tingkatan 2 sampai lebam, ditahan semalam

Sejak Isnin lalu, kecoh di media sosial apabila pelajar tingkatan 2 di sebuah sekolah berasrama di Kuala Nerus dilapor telah dibuli oleh 11 orang pelajar tingkatan 5 dari sekolah yang sama.

Terbaru, dilaporkan 11 pelajar yang terlibat dalam kes pukul berkenaan telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan kes.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata kesemua suspek yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada Isnin.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Khamis lalu, suspek dikatakan telah memukul dan menyepak mangsa yang berusia 14 tahun.

Kejadian tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan dan lebam pada bahagian peha kiri dan kanan. Gambar memaparkan lebam di bahagian kaki pelajar tingkatan 2 tersebut turut tular di Facebook.

“Berikutan itu mangsa telah membuat laporan polis pada Ahad kira-kira jam 9.40 malam.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mereka.

“Semua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya kepada pemberita semalam.

Menerusi laporan itu kesemua suspek telah ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.