Malaysia Dateline

110 anak nelayan terima sumbangan pra persekolahan di Dun Permatang Pasir

Bagi merealisasikan aspirasi peduli rakyat, seramai 110 anak-anak nelayan bagi kawasan Ujong Batu, Bagan Dalam, juga nelayan sungai serta anak-anak dalam kawasan Dun Permatang Pasir yang memerlukan telah menerima sumbangan keperluan persekolahan dari Petronas dan Nekmat yang telah diadakan di Dun Permatang Pasir semalam.

Menurut Adunnya, Faiz Fadzil, objektif utama adalah bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan nelayan dan mereka yang tidak berkemampuan dalam menghadapi sesi persekolahan tidak lama lagi.

Malah katanya, sikap peduli yang dizahirkan adalah agenda AMANAH dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggagaskan wawasan kemakmuran bersama serta meletakkan objektif meningkatkan kualiti hidup rakyat di setiap peringkat dan geografi terutamanya di luar bandar.

“Oleh kerana itulah maka tumpuan program sumbangan keperluan persekolahan ini dilaksanakan di kawasan luar bandar termasuk Beserah di Pahang, Sandakan, Sabah dan juga Lawas di Sarawak.

“Penekanan kepada peningkatan tahap pendidikan anak-anak nelayan dan juga anak-anak yang berada dalam kawasan Dun Permatang Pasir perlu ditingkatkan supaya negara ini terus dibina oleh warganya yang berkualiti dari sudut pendidikan dan akhlak.

“Kedua-dua elemen ini penting untuk melestarikan kemakmuran negara ini, ” tegasnya yang juga merupakan Pengerusi LKIM.

Sehubungan itu tambah Faiz, sumbangan ini adalah bagi memberi keselesaan kepada anak-anak dan bagi menyuntik semangat supaya mereka terus memberikan perhatian yang serius terhadap pelajaran.

Hadir sama dalam majlis sumbangan peduli rakyat tersebut ialah Pengurus Besar Petronas Dagangan, Ikhwan Azizan, Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari, Pengarah LKIM Pulau Pinang, Dr Nik Yahya dan Pengerusi Pen-Mutiara, Nazri Ahmad.