Malaysia Dateline

110 kluster tempat kerja, rekod tertinggi sejak dua minggu

Sebanyak 110 kluster baharu berkaitan tempat kerja telah dilaporkan sejak dua minggu lalu sekali gus angka tertinggi berbanding kluster lain.

Semakan Malaysia Dateline mendapati, jumlah tersebut mewakili 42 peratus daripada keseluruhan 262 kluster baharu yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 13 Mei lalu.

Kedua paling banyak ialah kluster komuniti dengan 76 kesemuanya diikuti kluster keagamaan (53), lapan kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan enam kluster kumpulan berisiko tinggi.

Selebihnya, sembilan kluster lagi terdiri daripada institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM, pendidikan tinggi, pusat tahanan dan kluster import.

Terdapat 2,102 kluster telah direkodkan sejak Covid-19 menular di negara ini tahun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,498 kluster telah tamat manakala 604 lagi kluster aktif iaitu peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding 457 kluster aktif pada 13 Mei lalu.

LANJUT MENYUSUL

Tujuh kluster tempat kerja lagi dengan jumlah kes dan jumlah disaring dilapor hari ini.