Malaysia Dateline

111 dapat ‘datuk’ berbanding 28 sempena Hari Wilayah tahun lepas

Seramai 111 menerima gelaran datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini berbanding hanya 28 sahaja mendapat gelaran itu pada tahun lepas ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah negara.

Dari 111 itu, enam orang diberikan gelaran Datuk Seri Utama, 24 Datuk Seri dan 81 Datuk.

Senarai penerima anugerah ini diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Antara yang mendapat Datuk Seri Utama adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail di samping Yang Dipertuan Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Yang mendapat Datuk Seri pula adalah Dr Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Sumber Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan (Menteri JPM – Undang-undang).

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraidah Kamaruddin yang sedang berhadapan dengan kemarahan ramai juga mendapat gelaran kali ini iaitu ‘Datuk’.

Mereka adalah antara 355 yang telah diberikan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Pada tahun lepas, ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah, hanya 188 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020.

Hanya tiga individu mendapat gelaran Datuk Seri dan 25 mendapat gelaran Datuk manakala tidak ada seorangpun diberikan gelaran Datuk Seri Utama.

Ketika itu juga, ketika menterinya adalah Khalid Samad, semua penerima gelaran Datuk Seri dan Datuk adalah pegawai kerajaan dan ahli perniagaan bukan ahli politik.