111,702 warga polis undi awal esok

Ketua Polis Negara Tan Seri Fuzi Harun

Seramai 111,702 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara akan hadir membuang undi bagi proses pengundian awal esok bagi PRU14.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 5,660 akan mengundi di Bukit Aman, manakala seramai 106,042 di 14 buah kontinjen seluruh negara.

“Proses ini bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Bagi Bukit Aman, pusat pembuangan undi dibuka di Mess Pegawai dan Rumah Perkep, Bukit Aman dan dijangka pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan calon bertanding akan hadir bagi memastikan pembuangan undi ini berlangsung secara telus,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini lapor sinarharian online.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut memberitahu seramai 7,695 pesara polis seluruh negara dijangka akan mengundi awal.

“Mereka berdaftar sebagai pengundi awal kerana masih belum berdaftar sebagai pengundi awam dan tidak mengisi borang pertukaran pengundi dan ini menyebabkan nama mereka masih di tempat bertugas,” katanya.

Jelas beliau, bagi pengundi awal polis, beliau mengarahkan untuk mengenakan pakaian seragam, tetapi bagi golongan pesara akan menggunakan pakaian awam. Namun, sekiranya pegawai atau anggota polis itu terlibat dengan operasi khas, mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan pakaian seragam.

Selain itu, bagi anggota dan pegawai polis yang menjadi pengundi pos pula, seramai 5,854 pengundi didaftarkan dan daripada jumlah itu seramai 1,796 akan mengundi di Bukit Aman, manakala selebihnya sebanyak 4,058 mengundi di setiap kontinjen.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihaknya sebagai penjawat awam profesional tidak akan menentukan anggotanya untuk memilih mana-mana parti.

“Kita tidak tentukan anggota kita mesti memilih mana-mana parti yang bertanding,” katanya.

CATEGORIES