Malaysia Dateline

1,141 kes baharu, tiada kematian dilaporkan

Sebanyak 1,141 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 70,236 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,799 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah berkenaan 1,138 kes merupakan penularan tempatan, manakala tiga lagi adalah kes import.

Bagaimanapun tiada pertambahan kes kematian baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah kekal 376 kes iaitu 0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat 129 kes positif yang
sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 1,144 kes sembuh menjadikan jumlah pesakit sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 59,061 kes (84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Setakat ini, negeri-negeri di Lembah Klang masih melaporkan jumlah kes harian terbanyak sebanyak 578 kes (50.7 peratus).

Negeri Selangor dan Sabah masing-masing melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 320 kes. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 256 kes.