Malaysia Dateline

1,168 kes baharu COVID-19, 87 pesakit dalam ICU

Kes positif COVID-19 hari ini terus mencatat empat angka iaitu sebanyak 1,168 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 39,357 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,666 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 1,168 kes baharu pada hari ini, tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kesemua kes yang dilaporkan merupakan kes penularan COVID-19 dalam negara.

“Terdapat 87 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),  di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,”katanya.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, beliau berkata, terdapat pertambahan tiga kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 282 kes (0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, terdapat empat kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu; kluster Softwood LD iaitu melibatkan daerah Lahad Datu di negeri Sabah.

Kedua, Kluster Teratai melibatkan daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat di negeri Selangor.

Ketiga, ialah kluster Tapak Bina Damanlela melibatkan daerah Lembah Pantai, Kepong, dan Titiwangsa,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Dan keempat adalah Kluster Mahkota daerah Hulu Langat di negeri Selangor; daerah Kepong dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; daerah Sibu di negeri Sarawak; dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Katanya, bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 1,029 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 27,409 kes.