Malaysia Dateline

117 kes baharu COVID-19 hari ini, 80 kes dari kluster himpunan tabligh

Sehingga 18 Mac 2020 pukul 12 tengah hari, Malaysia telah mencatat 117 kes positif COVID-19 baharu yang telah dilaporkan.

Ini telah menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 790 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataannya berkata, berdasarkan siasatan awal daripada 117 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 15 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga memaklumkan bahawa terdapat 11 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 60 kes.

Nasihat KKM semasa di rumah orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser).

Orang awam juga perlu mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik di rumah mahupun di luar iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu atau pelapik apabila batuk mahu pun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.