Malaysia Dateline

117 penduduk di Pa’Dalih, Bario, Sarawak disaring

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengesahkan seramai 117 penduduk yang tinggal di Pa’ Dalih Bario telah menjalani saringan COVID-19.

Menurut dalam satu kenyataan JPBN, saringan telah dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri berikutan kes positif COVID-19 di Pa’ Dalih di Bario yang sebelum ini direkodkan di Sepang, Selangor.

“Seramai 117 penduduk terdiri daripada 70 lelaki dan 47 wanita telah disaring semalam dengan empat sampel adalah daripada ahli keluarga kepada kes positif dan 113 sampel lagi adalah penduduk kampung Pa’ Dalih,” jelas JPBN.

Malah, kata JPBN aktiviti nyah kuman turut dilakukan di rumah keluarga kes, Klinik Kesihatan Pa’ Dalih dan Dewan Serbaguna yang dijadikan tempat persampelan.

“Kes ini telah melibatkan seramai 135 kontak rapat dan kesemua mereka disaring yang mana 12 kontak rapat adalah ahli keluarga kes yang berada di Bandaraya Miri dan Pa’ Dalih manakala 123 kontak rapat adalah penduduk kampung,” tambah JPBN.

Menurut JPBN lagi, hasil pemeriksaan semasa saringan dilakukan, tiada kontak yang menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 selain kesemua sampel saringan masih menunggu keputusan ujian makmal nanti.

“Aktiviti saringan dimulakan dengan taklimat ringkas kepada semua pemduduk termasuk petugas kesihatan dari Kesihatan Klinik Kesihatan Bario yang telah sedia menunggu sebelum aktiviti dijalankan.

“Saringan bermula pada jam 12 tengah hari dengan bantuan Ketua Kampung Pa’Dalih yang memanggil semua penduduk hadir ke Dewan Serbaguna bagi menjalani saringan COVID-19,” kata JPBN.