119 keluarga terima bantuan banjir Kerajaan Melaka

119 keluarga terima bantuan banjir Kerajaan Melaka

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab (gambar atas) berkata,119 keluarga telah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Melaka atas musibah banjir pada minggu lepas.

Kata beliau, setiap keluarga menerima RM500 daripada kerajaan negeri dan baucar barangan RM200 daripada Media Prima Berhad.

“Kesemua keluarga ini adalah penduduk dalam Dun Durian Tunggal yang terdiri daripada Kampung Belimbing Dalam, Kg Panchor, Kg Beringin, Kg Pantai Belimbing, Kg Bukit Balai dan Kg Pulau.

“Saya meminta MPKK setiap kampung supaya membuat sedikit penelitian tentang punca-punca banjir kalau-kalau langkah-langkah asas yang boleh lakukan bagi mengurangkan risiko dalam kampung masing-masing,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Sofi, antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan adalah membersih longkang, culvert dan mungkin juga membina longkang-longkang yang boleh mengalirkan air supaya jangan bertakung.

Beliau juga mengharapkan lebih banyak syarikat tampil memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Dun Durian Tunggal dan Alor Gajah seperti yang dilakukan oleh Media Prima.

“Semoga sedikit sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban mereka yang diuji dengan musibah banjir yang memusnah harta benda, tanaman dan kolam ikan.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penerangan, PDRM, Pejabat Daerah Alor Gajah, Jabatan Kesihatan, Penghulu, MPKK DUN Durian Tunggal, dan semua yang terlibat di dalam membantu program ini,” kata Adun Durian Tunggal itu.

Loading...