Malaysia Dateline

11,900 pelajar asnaf terima bantuan persekolahan bernilai RM1.56 juta

Seramai 11,900 pelajar asnaf di seluruh negara menerima bantuan persekolahan bernilai RM1.56 juta menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat @ Kementerian Pembangunan Usahawan ([email protected]): Back to School.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata program tahunan melibatkan agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat, Uda Holdings dan Yayasan Bank Rakyat itu bertujuan membantu dan memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata inisiatif itu sejajar dengan aspirasi kerja kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat yang memerlukan.

“Program CSR seumpama ini memberi peluang kepada MED bersama agensi di bawahnya untuk berbakti kepada masyarakat setempat di samping memberi motivasi dan sokongan moral kepada pelajar supaya dapat mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik sekali gus meningkatkan minat mereka untuk hadir ke sekolah.

“Ia juga bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa terutama golongan B40 dan asnaf dari segi perbelanjaan kelengkapan persekolahan anak mereka menjelang sesi persekolahan 2020 ini,” katanya kepada pemberita selepas Program [email protected]: Back to School Bersama Pak Wan di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha MED Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi; Pengerusi Bank Rakyat Datuk Noripah Kasmo dan Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 7,000 pelajar asnaf menerima bantuan persekolahan berjumlah RM1.05 juta daripada Bank Rakyat manakala 4,900 anak asnaf menerima bantuan sama berjumlah RM514,000 menerusi sumbangan zakat perniagaan daripada TEKUN Nasional.

Beliau berkata setiap daripada mereka menerima sumbangan kelengkapan persekolahan berupa pakaian seragam sekolah, stokin, beg dan kasut sekolah bernilai RM150 setiap seorang dan sebanyak 2,600 pelajar asnaf menerima bantuan itu di Melaka.

Sementara itu, Faizah Md Jidan, 45, ibu kepada penerima bantuan persekolahan tersebut, Karl Putra Khan Roozaidi, 11, dari Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi, berkata bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban kewangan yang perlu ditanggung bagi menyediakan keperluan persekolahan anak seramai lima orang.

“Rasa bersyukur, Alhamdulillah kerana selama ini tak pernah dapat, tahun ini baru dapat. Walaupun dapat untuk seorang anak tetapi ia cukup bermakna terutama yang mempunyai anak ramai dan suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya yang tinggal di Kuala Linggi, Masjid Tanah di sini.

— BERNAMA