Malaysia Dateline

12 kawasan Klang, Shah Alam dijangka pulih bekalan air petang esok

Bekalan air di 12 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam, Selangor telah ditutup pada jam 8.30 malam tadi bagi melaksanakan kerja pembaikan paip.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata langkah itu diambil ekoran kejadian paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Andalas, Klang, hari ini.

Menurutnya, kawasan terbabit dijangka pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air pada 5 petang esok.

Kawasan terjejas ialah Taman Sentosa, Jalan Raja Nong, Jalan Bendahara, Jalan Bentara, Jalan Sg Jati, Jalan Temenggong, Jalan Laksamana, Taman Bijaya, Taman Rakyat, Jalan Seri Sarawak, Bandar Puteri dan Bandar Putera 2, Klang.

“Kerja pembaikan dijangka siap pada jam 7 pagi esok, dan pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat berdasarkan jarak premis serta tekanan air,” katanya dalam satu kenyataan.