Malaysia Dateline

12 slot biasiswa YDP Agong dibuka untuk permohonan

Sebanyak 12 slot Biasiswa Yang di-Pertuan Agong bagi sesi pengajian 2018/2019 kini dibuka untuk permohonan.

Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan hari ini berkata, tawaran biasiswa itu terdiri daripada enam di peringkat Kedoktoran (PhD) dan enam di peringkat Sarjana dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang dan Kewangan Islam.

“Biasiswa ini adalah untuk mengiktiraf kebolehan luar biasa seseorang calon dengan memberi peluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” kata JPA.

JPA berkata permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Sesi Pengajian 2018/2019 secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.

Tarikh tutup permohonan online dan tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan pada 2 Mac ini.

Maklumat penawaran juga boleh diperolehi dengan melayari portal tersebut atau menghubungi talian 03-88853546/ 3053/ 3571.

JPA berkata, keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu CGPA sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda/Sarjana serta bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif.

“Keutamaan juga diberikan kepada calon yang mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa serta kebolehan yang istimewa,”katanya.

Calon juga hendaklah telah mendapat tawaran/memulakan pengajian di universiti penyelidikan tempatan atau universiti terkemuka di dunia yang dipersetujui oleh JPA bagi sesi pengajian 2018/2019, katanya.

“Calon-calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga,” katanya.

JPA mengingatkan penerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang daripada lima tahun.

“Penerima biasiswa yang telah menamatkan pengajian di luar negara diwajibkan pulang ke tanah air selepas tamat tempoh tajaan,” katanya.

Program Biasiswa Yang di-Pertuan Agong mula diperkenalkan pada 2006 khusus kepada calon yang mempunyai prestasi tinggi dalam akademik dan bukan akademik (ko-kurikulum) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dan Sarjana di dalam atau luar negara.