Disebabkan hakisan yang terjadi di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus maka lima jenazah termasuk tiga masih berkafan dikebumi semula.
Ini adalah selepas beberapa kubur runtuh akibat hakisan ombak yang melanda tanah perkuburan tersebut pada Sabtu lalu.
Menurut Sinar Harian, seorang waris, Siti Idayu Mohd Ali mengakui terkejut apabila mengetahui kain kafan arwah ibunya masih dalam keadaan baik selepas 12 tahun dikebumikan.
“Arwah mak meninggal pada tahun 2012. Saya dimaklumkan tentang perkara itu selepas melihat status WhatsApp dan Facebook penduduk kampung.
“Jadi dalam jam 8.30 pagi tadi saya datang melihat kubur arwah ibu. Alhamdulillah…kain kafan arwah ibu masih baik dan tak hancur,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Sementara itu, Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun menyatakan pihak Jabatan Agama Islam dan Hal Ehwal Agama (JHEAT) telah diberi kebenaran.
Ini adalah untuk menggali dan memindahkan beberapa kubur yang berpotensi dihanyutkan ombak dengan segera.
“Proses tersebut perlu dilakukan kerana risiko lebih banyak kubur hanyut akibat hakisan disebabkan Monsun Timur Laut yang melanda Terengganu ketika ini,” jelas beliau.
Difahamkan, terdapat lapan kubur akan dialihkan dan kesemua jenazah tersebut sudah tidak sempurna kecuali dua jenazah yang masih ada tengkorak.
Proses pengebumian semula itu dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Hajar, Kampung Awang Lib.
Baca juga: Remaja 14 tahun selamatkan rakan kena renjatan terima pingat Hang Tuah, wang RM5,000