Malaysia Dateline

120,000 rumah mampu milik tidak dibina di negeri Johor, kata Exco

Terdapat 120,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) atau yang diberi nama baharunya Rumah Mampu Biaya (RMB) tidak dibina di negeri Johor.

Maklumat ini telah disahkan Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad yang menyatakan perkara itu berlaku akibat dari kelemahan sistem yang ada sebelum ini.

Beliau yang ditemui di pejabatnya memaklumkan bahawa rumah tersebut sepatutnya telah dibina namun sehingga hari ini ia masih tidak ada sebarang tanda untuk dibina

“Dari segi polisi kerajaan sebelum ini, terdapat sebanyak 40 peratus rumah RMB yang sepatutnya dibina namun terdapat beberapa pengusaha yang tidak membina rumah berkenaan.

“Kelemahan yang berlaku telah dikesan oleh pihak kami dengan permohonan Kebenaran Merancang (KM) yang boleh dipinda. Pindaan terbaru dari pengusaha telah mentiadakan RMB berkenaan.

“Saya dapati pengawalan berkenaan tarikh bila ia dibina tidak dicatatkan sebelum ini. Apabila pindaan KM dibuat, pihak pengusaha perumahan telah menggugurkan status 40 peratus rumah RMB itu.

“Perkara ini adalah bertujuan untuk membuat pengusaha menepati syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Sekiranya perkara ini terus berlaku kita tidak akan mencapai sasaran RMB seperti mana yang telah disasarkan oleh kerajaan,” ujarnya ketika ditemui.

Menurut beliau, tindakan pihak kerajaan negeri pada masa ini adalah untuk memperbaiki sistem yang telah berlangsung sebelum ini dan menutup segala ruang agar ia tidak dimanupulasikan.

Beliau menyatakan lagi sebelum ini terdapat permohonan KM secara berskala besar yang membuatkan pihak pengusaha mampu mengelak kepada pembinaan rumah RMB.

“Pihak pengusaha akan memohon projek perumahan secara pelan berskala besar dan di dalam pelan tersebut tidak memaklumkan pembinaan fasa yang ingin dibangunkan.

“Memang wujud 40 peratus RMB sewaktu awal permohonan namun ia hilang apabila fasa-fasa berkenaan didirikan tanpa adanya RMB sehinggalah fasa yang terakhir melibatkan ruang untuk pembinaan RMB dipinda semula oleh pengusaha.

“Maka dari situ pindaan dilakukan tanpa ada lagi pembinaan 40 peratus RMB yang asalnya mahu diwujudkan. Pindaan semula itu akan dibuat oleh pihak pengusaha adalah berkaitan dengan pembinaan rumah teres sederhana dan mahal.

“Kita akan memperbaiki semula keadaan ini dari segi permohonan yang mahu dibuat oleh pengusaha sekiranya mereka ingin membuat fasa perlulah pelan yang dihantar untuk KM mengikut fasa dan di dalam fasa berkenaan perlulah ada 40 peratus RMB,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyatakan hasrat yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini baik untuk pihak pengusaha membina RMB sebagaimana yang sepatutnya.

Beliau turut berpendapat tindakan ini mampu untuk membantu rakyat yang hari ini memerlukan rumah di negeri ini.