Malaysia Dateline

1,240 kes baharu tertinggi sejak penularan Covid-19

Gelombang ketiga Covid-19 menyaksikan kes baharu tertinggi hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,240 kes baharu hari ini menjadikan keseluruhan jumlah sebanyak 27,805 kes.

Rekod ketika negara dilanda gelombang ketiga ini merupakan kes harian tertinggi sejak penularan Covid-19 dengan 1,238 kes membabitkan kes tempatan manakala dua lagi kes import.

Pada masa sama, Malaysia mencatatkan 691 kes sembuh hari ini dengan jumlah kumulatif dibenarkan discaj meningkat sebanyak 17,825 kes atau 64.11 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini juga memaklumkan terdapat tujuh kematian baharu sekali gus menyaksikan sebanyak 236 kes kematian dilaporkan.

Beliau turut memaklumkan terdapat 9,744 pesakit sedang dirawat dengan 94 orang daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada 94 kes ICU tersebut, jelasnya, 31 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan setakat jam 12 tengah hari tadi.