Malaysia Dateline

128,150 syarikat diluluskan beroperasi, lockdown apa ini?

Setakat semalam, sebanyak 128,150 syarikat melibatkan 1.5 juta pekerja mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk terus beroperasi.

Hal itu mengundang ketidakpuasan hati orang ramai yang menganggap sekatan pergerakan penuh ini sebagai ‘lockdown separuh masak’ dan hanya mementingkan operasi syarikat-syarikat tauke besar.

Perkara itu juga mendapat perhatian Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempersoalkan apakah ‘lockdown’ yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Ini lockdown apa?

“Menteri kata bukan MITI saja bagi, tapi 15 Kementerian lain pun bagi kelulusan. Episod kecelaruan ini menjadi-jadi pula, daripada daftar vaksin, moratorium hinggalah sekarang.

“Tolong. Rakyat tidak perlu drama semacam ini,” ulasnya dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Sementara itu, ada juga dalam kalangan warganet yang meluahkan rasa marah kerana mereka sudah berkorban duduk di rumah tanpa sebarang pendapatan.

Namun usaha mereka sia-sia apabila kes semakin meningkat.

“Lockdown separuh masak ini buat rakyat stress tahu tak. Kalau nak buat lockdown buatlah betul-betul. Kita turunkan kes, kemudian buka balik semua sektor ekonomi.

“Kalau tengok situasi sekarang ini sampai bila nak lockdown separuh masak, takkan sampai tahun 2030. Ini taukeh besar je untung,” kata pengguna Twitter, @idontcarethe

@badariahnabilah pula berkata, inilah pengkhianat negara yang sebenar kerana hanya mahu menyelamatkan kedudukan sendiri.

“Kita nak selamatkan nyawa rakyat tapi dia nak selamatkan poket dan kedudukan sendiri. Jangan undi manusia macam ini dalam pilihanraya akan datang,” tulisnya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan bukan mereka sahaja yang menjadi penentu dalam memutuskan sesuatu sektor perniagaan dianggap penting atau sebaliknya

Dalam satu kenyataannya semalam, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, surat kebenaran beroperasi oleh Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) hanya dikeluarkan setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi, memberi pengesahan kepada MITI.

Azmin berkata, 586,308 dengan 10.2 juta pekerja telah berdaftar dengan CIMS dan hanya 128,150 atau 21.8% surat kebenaran beroperasi telah dicetak melalui CIMS melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia.

Shingga kini katanya, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing