Malaysia Dateline

1,294 kes baru, negeri Sarawak catat peningkatan

Terdapat 1,294 kes baharu di laporkan pada hari ini menjadikan kumulatif kes baharu positif COVID-19 di Malaysia setakat ini 347,972 kes, manakala 14,246 kes adalah kes aktif.

Sebanyak 1,268 kes adalah membabitkan penularan dalam tempatan manakala 26 kes adalah kes import yang membabitkan 9 warganegara dan 17 bukan warganegara.

Bagaimanapun dilaporkan seramai 168 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 78 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seramai lima orang telah disahkan maut pada hari ini menjadikan jumlah kes maut adalah 1,283 kes.

Kes kematian kali ini melibatkan dua kes di Sarawak, serta masing-masing satu kes di Johor, Pulau Pinang, dan Sabah. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 455 kes (35.2 peratus).

Daripada jumlah ini, sebanyak 375 kes (82.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 217 kes (16.8 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 139 kes (10.7 peratus).