12,931 mangsa banjir, 31 pusat pemindahan di Kelantan

12,931 mangsa banjir, 31 pusat pemindahan di Kelantan

Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 12,931 orang daripada 4,640 keluarga setakat pukul 5 petang ini berbanding 13,521 orang daripada 4,821 keluarga tengah hari tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi info banjir,

Kini terdapat sebanyak 31 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan penduduk dilanda banjir di Jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Jumlah penduduk telibat paling ramai ialah di Jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 8,870 orang daripada 3,364 keluarga yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan, diikuti Jajahan Tumpat sebanyak 3,871 orang daripada 1,232 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Terdapat 190 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Cuaca cerah hari ini dan banjir yang semakin surut akan membolehkan lebih ramai mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Menurut laman sesawang kerajaan negeri di hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9 meter (m), namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.77 m berbanding 9.84 m tengah hari tadi.

Paras air Sungai Kelantan semakin surut dan berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.99 m berbanding 13.13 m tengah hari tadi(paras bahaya 16m) manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal lapor Bernama hari ini.

Manakala Sinar Harian melaporkan salah seorang mangsa banjir yang ditemui di Kampung Kuala Merabang, Dewan Kecil, Labok Macang mendakwa banjir yang melanda merupakan yang terburuk dalam sejarah hidup mereka.

Menurut penduduk, Banjir Bah Kuning pada 2014 yang lalu tidak seteruk Selasa lalu memandangkan kampung itu terletak jauh dari Sungai Kelantan.

Penduduk, Zainab Mahmood, 70 berkata, banjir darat (air hujan) merupakan perkara biasa di kampung tersebut namun tidak seteruk yang berlaku baru-baru ini.

Katanya, sepanjang lebih 30 tahun tinggal di kampung itu, air tidak pernah masuk ke dalam rumahnya dan hanya melibatkan pekarangan rumah.

“Kali ini, air di dalam rumah mak cik paras lutut orang dewasa dan mak cik tidak sempat mengemas barang-barang memandangkan mak cik tidak sihat dan anak-anak keluar bekerja.

“Mak cik terpaksa biarkan semua barangan kelengkapan rumah dan selamatkan diri mak cik. Mujurlah ada adik yang tinggal berdekatan, tolong selamatkan peti sejuk,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)