13 anggota polis beri keterangan bocor maklumat, tubuh pasukan khas

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan daripada 13 anggotanya bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat mengenai penahanan suspek kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Md Isa berkata keterangan daripada kesemua anggota berkenaan diambil semalam mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berhubung kebocoran maklumat kes berkenaan,\” katanya kepada Bernama di sini, malam ini.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh memberitahu sidang media khas bahawa tujuh remaja berusia 11 hingga 18 tahun ditahan berhubung kes kebakaran pusat tahfiz itu.

Enam daripada mereka positif dadah dan kesemuanya direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, fakta kes dan maklumat mengenai penahanan suspek serta beberapa gambar suspek telah tular di media sosial sebelum sidang media itu diadakan kira-kira 8 malam.

Pasukan Khas akan ditubuhkan

Satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kebocoran maklumat siasatan penahanan suspek tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat  itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut kerana ia bukan pertama kali berlaku.

“Saya akan arahkan Ketua Polis Kuala Lumpur untuk tubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan dan Meraikan Atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan Kejohanan World Police & Fire Games (WPFG) Los Angeles 2017 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman  hari ini