13 ditahan berkaitan lapan insiden letupan di Sri Lanka

13 ditahan berkaitan lapan insiden letupan di Sri Lanka

Polis Sri Lanka pada Ahad berkata 13 orang telah ditahan susulan beberapa siri letupan yang meragut 228 nyawa di seluruh negara pulau itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Media tempatan melaporkan bahawa polis berkata kesemua suspek ditahan di ibu kota Colombo dan 10 daripada mereka telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe memberitahu pemberita bahawa kesemua yang ditahan adalah warga Sri Lanka dan operasi pencarian sedang dijalankan untuk memburu lebih ramai suspek.

Beliau berkata sejumlah 228 orang maut manakala 450 lagi cedera dalam lapan insiden letupan pada Ahad.

Presiden Maithripala Sirisena telah melantik satu suruhanjaya khas untuk menyiasat serangan itu.

Letupan terbabit dilaporkan berlaku di seluruh Sri Lanka pada Ahad semasa beratus-ratus penganut berhimpun di gereja untuk memperingati Hari Easter, kata polis.

Jurucakap polis SP Ruwan Gunasekara berkata satu letupan berlaku di Gereja St Anthony di Kochchikade manakala letupan kedua di Gereja St Sebastian di Negombo, kedua-duanya terletak di pinggir ibu kota pada Ahad pagi.

Letupan ketiga menggegarkan Gereja Zion di timur bandar Batticaloa.

Beberapa letupan turut menggegarkan tiga hotel lima bintang di Colombo manakala pada petang Ahad, satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan dengan sebuah zoo di Dehiwala manakala satu lagi di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, kedua-duanya di ibu kota.- BERNAMA