Malaysia Dateline

13 kawasan Parlimen seluruh Pulau Pinang terima agihan barangan dari AMANAH

AMANAH Pulau Pinang mengambil inisiatif mengedarkan sejumlah 500 pek barangan keperluan asas kepada kesemua 13 kawasan Parlimen dalam negeri Pulau Pinang semalam.

Program serahan yang berjalan dengan mematuhi arahan penjarakan sosial serta mengenakan penutup hidung dan mulut itu berjalan di dua lokasi iaitu di sebelah pulau dan sebelah Seberang Perai.

Program tersebut diselaraskan Biro Kebajikan AMANAH Pulau Pinang dengan inisiatif dan kerjasama AMANAH Pulau Pinang.

Sumbangan tersebut atas keprihatinan kepada nasib rakyat yang terjejas akibat terputus bekalan makanan dan tiada sumber pendapatan dilanda musibah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan diketuai Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr. Roslan Ahmad dengan mensasarkan golongan B40 yang tidak boleh berniaga dan bekerja dengan harapan mereka berupaya melalui tempoh sukar ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Yusoff Noor, Naib Pengerusi I, Dr. Zaidi Zakaria, Naib Pengerusi II, Ustaz Ahmad Fahmi A Bakar dan Ketua Pemuda negeri, Muhamad Khairul dan Ketua AWAN, Aida Yusoff.

AMANAH Pulau Pinang berusaha menyahut seruan kerajaan negeri Pulau Pinang yang melancarkan kempen dengan tanda pagar #PenangLawanCovid19 dalam usaha bersama-sama mengharungi tempoh sukar ini.

Disamping itu juga, pimpinan AMANAH Pulau Pinang juga menyampaikan nasihat berkaitan kempen Covid-19 dengan mengangkat plakad tertulis beberapa mesej ringkas seperti #stayhome #staysafe dan #dudukrumah.

Menurut Yusoff Noor, mereka juga sedang mensasarkan sumbangan fasa kedua sekiranya tempoh PKP berlanjutan.

Sementara itu, Khairul memberitahu akan mengerahkan Pemuda AMANAH Kawasan-Kawasan untuk turut serta dalam serahan di kawasan masing-masing.

“Kita perlu tenaga muda untuk menggerakkan aktiviti ini supaya dapat meringankan beban pimpinan kawasan”, katanya lagi.

Sebanyak 500 pek barangan keperluan asas diagih bagi meringankan beban rakyat sepanjang tempoh PKP.