Malaysia Dateline

13 kerusi Dun kawasan Pilihan Raya bagi Negeri Sabah diwartakan hari ini, kata SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi negeri Sabah telah diwartakan hari ini.

Ini selaras engan peruntukan Skesyen 7(1) Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19).

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, semakan daerah mengundi dan pusat mengundi bagi pengundi-pengundi di negeri Sabah boleh dibuat di tempat pemeriksaan seperti mana yang dinyatakan dalam Notis dan boleh diperiksa mulai 24 September 2019 hingga 10 Oktober 2019 depan.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai tempat pemeriksaan daerah mengundi dan pusat mengundi tersebut juga boleh didapati melalui portal rasmi SPR di http://www.spr.gov.my. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8892 7000 atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah di talian 088-488 588.

Pemakluman mengenai daerah mengundi dan pusat mengundi terkini bagi negeri Sabah itu dilaksanakan oleh SPR susulan Dewan Rakyat telah meluluskan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sabah Kali Keenam Tahun 2017 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) 2019 dalam sidangnya pada 17 Julai 2019 epas.

Pada 22 Ogos 2019 perintah tersebut telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah diwartakan untuk dikuatkuasa mulai 22 Ogos 2019 [P.U.(A)225/2019] selaras dengan peruntukan Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai rekod pada 9 Ogos 2016, Dun Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.

Pindaan rang undang-undang itu disokong 55 Adun, termasuk lima wakil rakyat pembangkang dan empat Bebas, manakala tiga wakil pembangkang tidak bersetuju serta seorang berkecuali.

Berdasarkan persempadanan baharu itu, 13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Pada 8 Julai lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mengumumkan Kerajaan Pakatan Harapan telah meneliti Laporan SPR mengenai Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor Yang Dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri.

Susulan itu pada 17 Julai usul draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) beserta Laporan SPR bertarikh 14 Februari 2017 dibentangkan dan diluluskan di Parlimen
.