Malaysia Dateline

13 Ketua Cabang PKR P.Pinang rayu Nurul Izzah tarik balik keputusan

Kesemua 13 ketua cabang PKR seluruh P.Pinang merayu Nurul Izzah supaya menarik balik keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

Demikian dinyatakan oleh ketua cabang Kepala Batas, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman ketika sidang media yang diadakan di Yayasan Aman, Permatang Pauh sebentar tadi.

Beliau yang mewakili kesemua ketua cabang turut berkata kesemua ketua cabang seluruh Pulau Pinang menzahirkan sokongan penuh supaya Nurul Izzah terus memikul tanggungjawab sebagai Naib Presiden serta Pengerusi MPN.

“Kami berharap agar beliau menerima amanah yang telah diberikan kepadanya dan berjanji akan memberi kerjasama bagi mengangkat martabat PKR khususnya di Pulau Pinang serta juga parti amnya.

“Sehubungan itu kami menyeru agar beliau terus mengekalkan semangat perjuangan yang telah beliau dukung demi keadilan untuk semua.

“Kemampuan beliau sebagai pemimpin tidak dapat disangkal serta mampu untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan, ” ujar beliau yang juga merupkan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Sementara itu, ketua cabang Tasek Gelugor, Mustafa Kamal Ahmad yang ditemui turut berkata, kemampuan Nurul Izzah untuk memimpin tidak dapat dipertikaikan oleh mana-mana pihak setelah ia terserlah sejak menjadi Puteri Reformasi sejak 20 tahun yang lalu.