Malaysia Dateline

13 Oktober tanggungjawab kembalikan mandat rakyat, kata Mujahid

Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden Parti Amanah Nasional (AMANAH), Datuk Seri menegaskan kepentingan tarikh 13 Oktober ini sebagai tanggungjawab untuk mengembalikan mandat rakyat.

Ahli Parlimen Parit Buntar tersebut berkata, semua pihak perlu menyokong usaha Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan jumlah majoriti Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong lusa bagi membentuk kerajaan.

“Tanggungjawab kita untuk mengembalikan mandat itu adalah satu perkara utama yang kita tetapkan.

“Kita juga bersetuju dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, kita mesti menggembleng tenaga dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan tanggungjawab untuk memimpin usaha-usaha dalam kalangan 222 Ahli Parlimen mendapat mandat semula,” tegasnya.

Mujahid berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Pemuda AMANAH Perak hari ini menerusi rakaman video.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memberitahu mempunyai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan.

Sehubungan itu, Mujahid menyifatkan langkah Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu bukan hal yang ganjil sebaliknya penting bagi mendapatkan semula mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Alhamdulillah, kita menanti dengan penuh berdebar Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenankan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong membentangkan beliau mempunyai bilangan yang disifatkannya kukuh, kuat dan meyakinkan.

“Kita tahu ia bukan perkara yang ganjil kerana kita mahu kembalikan mandat. Mengekalkan mandat adalah jalan yang menjadi penyumbang terbesar kepada suasana kita hadapi hari ini iaitu krisis Covid-19,” ujarnya.

Justeru, Mujahid berharap sayap Pemuda parti itu khususnya mengukuhkan semangat untuk mencapai hasrat membentuk kerajaan pada 13 Oktober ini.

“Kita mengharapkan cita-cita ini akan diperkukuhkan dengan semangat yang jitu oleh Pemuda-pemuda kita agar jangan lupa teras perjuangan kita yang hebat.

“Cita-cita kita yang besar ini janganlah kita lupa. Jalan untuk kita kembali mendapatkan mandat itu menguntungkan perjuangan kita dan dapat kita sebarkan dengan lebih berkesan,” tambahnya lagi.