Malaysia Dateline

13 parti dalam kerajaan PN tubuh Majlis Presiden

Sebanyak 13 parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai ketua-ketua parti masing-masing.

Sekretariat Setiausaha Agung Parti-Parti Dalam Kerajaan PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata perkara itu dipersetujui oleh semua ketua parti dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Bagi menyelaraskan Majlis Presiden terbabit, satu sekretariat yang dianggotai oleh semua Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN ditubuhkan.

“Pada mesyuarat itu parti-parti dalam kerajaan PN turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ketua parti yang hadir pada mesyuarat itu adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Yang turut hadir mewakili ketua parti yang lain adalah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah; Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup; Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Edward Dagul; Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Paul Igai; Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Guan Dee Koh Hoi.

Untuk rekod, gabungan parti PN membentuk kerajaan menggantikan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu dengan hanya mempunyai majoriti mudah dua kerusi.

Pendaftaran PN kemudiannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos lalu.

Pada 15 Disember lalu, kerajaan PN hanya mempunyai perbezaan majoriti tiga undi ketika Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dibacakan kali ketiga

Majoriti tipis dengan 111 wakil rakyat menyokong itu bagaimanapun menyelamatkan kerajaan PN daripada jatuh ke tangan blok pembangkang yang didominasi Pakatan Harapan (PH).