13 pemain utama tempatan galas cabaran negara di Kejohanan Maybank

13 pemain utama tempatan galas cabaran negara di Kejohanan Maybank

Pemain ranking terbaik negara, Gavin Kyle Green akan mengetuai barisan 13 pemain profesional tempatan pada edisi keempat Kejohanan Golf Maybank 2019 dari 21 hingga 24 Mac ini di Kelab Golf & Country Saujana, Subang, dekat ini.

Selain Green, dua pemain tempatan terbaik dalam Jelajah Asia, Ben Leong dan Nicholas Fung turut disenaraikan.

Di samping itu, antara pemain tempatan lain yang layak dan akan menggalas cabaran negara ialah Pemain Terbaik Jelajah PGM Malaysia, Shahriffuddin Ariffin, Danny China, Amir Nazrin, Sukree Othman, R. Nachimuthu, Wilson Choo dan Kenneth De Silva.

Pengarah Maybank, Datuk K. Karunakaran berkata 60 pemain terbaik masing-masing daripada Jelajah Asia dan Eropah serta 15 pemain utama dunia akan bersaing pada kejohanan tersebut.

“Oleh itu kami telah menyediakan tempat untuk pemain utama negara mendapat pendedahan bermain dalam kejohanan bertaraf dunia ini,” kata ketika berucap pada jamuan malam dan penyampaian hadiah Kejohanan Maybank Golf Media di sini, malam ini.

— BERNAMA