Malaysia Dateline

13 pusat kuarantin COVID-19 dikenal pasti di Sarawak

Sebanyak 13 pusat kuarantin COVID-19 telah dikenal pasti untuk digunakan di seluruh Sarawak.

Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak memberitahu, pusat kuarantin itu ialah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kolej Kesihatan Awam dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) di Kuching.

Bagi Bahagian Kota Samarahan, katanya ialah Institut Pembangunan Desa (INFRA) dan Institut Tadbiran Awam (INTAN).

“Selain itu, Kampung Sukan Petronas (Miri), Kem Belia Kemunyang (Sibu), Stadium Tertutup dan Dewan Suarah (Limbang), Taman Negara Similajau (Bintulu), Stadium Tertutup (Lawas), Rumah Temuai (Kapit), Rumah Rehat (Sri Aman) dan Kolej Kejururawatan (Sibu),” ujarnya JPBN dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Kata kenyataan itu, JPBN Sarawak setakat ini masih lagi dalam usaha mencari tempat yang sesuai bagi dijadikan sebagai pusat kuarantin di daerah yang lain.

Pada masa sama, JPBN turut memutuskan bahawa semua pekerja Offshore Oil dan Gas termasuk dari luar Sarawak untuk menjalani Perintah Kuarantin selama 14 hari di Sarawak sebelum pergi ke pelantar.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak Polis juga telah memaklumkan sebanyak 95 peratus masyarakat di negeri ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)sejak dikuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Di samping itu, JPBN turut memberitahu bahawa Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan digunakan sebagai pusat pengumpulan barang sumbangan.

“Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang hendak menghantar sumbangan makanan perlu menghantar kepada JKM untuk diagihkan kepada penerima.

“Kita juga menyarankan agar sumbangan hendaklah melalui Sekretariat JPBN,” jelas kenyataan itu.