13 tahun aku impikan untuk memiliki kereta besar, rumah yang cantik serta barang yang berjenama, namun ada juga yang sanggup mengetepikan segala kehendak demi masa depan.
Walaupun mungkin perlu menghadapi stigma atau persepsi buruk dari orang sekeliling.
Melakukan simpanan wang pula bukan mudah, perjalanannya panjang dan kadang kala boleh tewas dengan ‘godaan’ untuk memenuhi jangkaan orang sekeliling.
Bagaimanapun, kisah yang dikongsikan oleh penasihat kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad ini mungkin boleh menjadi satu penanda aras bagi anda yang ingin menguruskan simpanan dengan lebih baik.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, seorang lelaki kini mempunyai simpanan hampir RM1 juta selepas 13 tahun mengikat perut dan menahan nafsu dari membeli kereta yang lebih besar dan mahal.
Assalamualaikum Dr.
Mohon hide nama saya. Ada sedikit perkongsian dari pengalaman saya sendiri.
Saya tertarik untuk dengan post Dr berkenaan dengan “Ramai suruh tukar kereta baru”. Saya juga salah seorang yang menghadapi pertanyaan yang sama setiap kali balik kampung atau berjumpa kawan dan saudara mara.
Dihina dan dipandang rendah itu perkara biasa.
Dari mula saya bekerja tahun 2010 hingga sekarang, saya cuma memandu Proton Wira 1993. Isteri pula ada sebuah Alza 2013 yang juga digunakan sebagai family car kami.
Walaupun kami tertarik untuk membeli kereta yang lebih besar dan mewah, namun keinginan itu kami simpan dahulu.
Maka bersesaklah kami 6 beranak di dalam Alza yang penuh dengan barang – barang ketika balik kampung.
Apa yang saya buat ketika orang lain sibuk membeli Honda civic, Toyota estima, Alphard, Vellfire?
Saya tahan diri dan buat perkara-perkara di bawah.
- Saya beli 2 buah rumah, satu untuk disewa dan satu untuk didiami oleh kami sekeluarga. Alhamdulillah hasil sewaan digunakan membayar pinjaman rumah.
- Saya paksa diri untuk membuat ASB financing dari mula bekerja hingga sekarang berjumlah 800K (suami isteri ASB1 + ASB2). Dividen tidak pernah disentuh hingga sekarang.
- Saya gagahkan diri buat part time selagi ada masa terluang. Hasil part time semuanya disimpan di dlm ASB/Tabung Haji/SSPN/Unit Trust.
- Cuba berbelanja dengan berhemah, segala perbelanjaan saya catat dan simpan. Setiap bulan perbelanjaan akan direview semula.
- Beli beberapa tanah yang ada nilai dan potensi masa hadapan.
Setelah 13 tahun saya mengikat perut dan menahan nafsu, jumlah semua cash-cash dan simpanan yang terkumpul pada hari ini adalah RM907,770. Ya, hampir RM1 juta.
Dividen yang dihasilkan pula dari jumlah ini sekitar RM60-70k setahun (RM907k cash + ASBf 800K).
Akhirnya pada bulan lepas, saya dan isteri baru mengambil keputusan untuk membeli kereta idaman kami sebuah MPV besar untuk kegunaan keluarga hanya dengan menggunakan dividen dari simpanan (sekitar RM2k sebulan).
Bagi saya, apa yang penting adalah matlamat kewangan seseorang lebih-lebih lagi jika sudah berkeluarga.
Tak guna beli kereta untuk menunjuk-nunjuk / kemewahan jika diri sendiri sengsara membayar setiap bulan.
Pekakkan telinga, jawab sahaja kita tidak mampu.
Nota : Saya mula bekerja dengan gaji RM2500, sekarang RM8500. Manakala isteri guru sekolah kerajaan. Tidak kira berapa gaji saya, lebih separuh akan disimpan secara tetap (force saving).
Yang benar,
Owner wira buruk.
Baca juga: Pengantin hampir tak jadi kahwin, tok kadi lupa datang majlis sampai terpaksa tempah tok kadi baru