Malaysia Dateline

130 inisiatif Mestecc 2020 dilancarkan

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) hari ini melancarkan 130 Inisiatif MESTECC 2020 dengan tema yang dikekalkan daripada Inisiatif MESTECC 2019 iaitu Kuasai. Laksana.
Ungguli (Own It. Do It. Ace It).
Menerusi kenyataannya hari ini, MESTECC mengisytiharkan Inisiatif 2020 sebagai meningkat hampir sekali ganda daripada jumlah Inisiatif yang telah dilaksanakan pada tahun 2019, iaitu sebanyak 73 Inisiatif.
Jelasnya, Inisiatif Mestecc pada tahun 2020 juga akan dilaksanakan dalam lima kategori mengikut sektor di dalam kementerian itu sendiri.
“Ia terdiri dari Sektor Tenaga, Sektor STI, Sektor Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Sektor Perancangan Strategik & Antarabangsa dan Sektor Pengurusan.
“Daripada 130 Inisiatif tersebut, Sektor Tenaga menggariskan 32 inisiatif; Sektor Sains Teknologi dan Inovasi (STI) pula merangkumi 31 inisiatif.
“Manakala Sektor Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menggariskan 40 inisiatif; dua sektor sokongan iaitu Sektor Perancangan Strategik & Antarabangsa dengan 14 inisiatif dan Sektor Pengurusan dengan 13 inisiatif,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, kesemua inisiatif yang digariskan adalah selari dengan agenda dan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama Negara iaitu memastikan semua rakyat menikmati kekayaan dan kemakmuran ekonomi negara secara adil dan saksama.
Jelasnya, menerusi pelan inisiatif ini, Mestecc akan mengutamakan pelaksanaan program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat serta meningkatkan daya saing negara.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada menyediakan impak kepada rakyat dalam bidang keutamaan negara iaitu tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim, pembangunan sosio ekonomi negara dan bersifat inklusif,” ujarnya