Malaysia Dateline

1,315 kes baharu, 4 kematian termasuk kanak-kanak berusia 4 tahun

Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,315 pada hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 63,176 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,508 kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,310 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Sehingga kini katanya, terdapat 118 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat pertambahan empat kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 354 kes (0.56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kematian pada hari ini melibatkan pesakit termuda berumur 4 tahun manakala selebihnya berumurĀ  60 tahun ke atas.