Malaysia Dateline

132 penjawat awam di Selangor belum vaksin

Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan seramai 132 daripada jumlah keseluruhan penjawat awam belum mendapatkan dos imunisasi COVID-19.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah ini berdasarkan data yang diterima daripada 43 jabatan dan agensi sehingga 16 November 2021 .

Jumlah keseluruhan terkini penjawat awam di negeri Selangor adalah seramai 22,314 orang.

Katanya, berdasarkan pekeliling perkhidmatan tersebut dinyatakan bahawa penjawat awam atau pegawai perkhidmatan awam adalah bertanggungjawab untuk mendapatkan dos imunisasi COVID-19 yang lengkap sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta prduktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap yang optimum, kata beliau.

“Oleh itu, pada atau selepas 1 November 2021, pegawai boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk mendapatkan dos imunisasi Covid-19 yang lengkap dengan cara mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 dan mana mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

“Sekiranya pegawai tidak dapat melengkapkan dos imunisasi Covid-19 atas sebab kesihatan, pegawai boleh diarahkan ketua jabatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar bagi mengesahkan bahawa pegawai tidak layak untuk menerima imunisasi Covid-19 daripada segi perubatan (medically inelligable),”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping di sidang DUN Selangor hari ini.

Elizabeth mengemukakan pertanyaan berhubung jumlah penduduk Selangor yang belum vaksin termasuk sebab-sebab mereka belum divaksin.

Dalam pada itu Siti Mariah berkata, bagi populasi remaja (12-17 tahun), pemberian vaksin Covid-19 masih dalam berjalan dengan semua agensi yang terlibat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak NGO.

Seramai 73,653 populasi remaja 12 hingga 17 tahun masih belum menerima vaksin, dan seramai 275,237 populasi umur 18 tahun ke atas juga masih belum terima vaksin.

Jelasnya, bagi kumpulan remaja yang sukar untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti remaja yang tidak bersekolah, remaja orang asli, remaja di dalam pusat institusi pemulihan atau rumah perlindungan, proses pemberian vaksinasi sedang berjalan melalui program jangkau luar/outreach yang dijalankan oleh Pasukan Outreach PKD dan NGO seperti MERCY dan IMARET.

Sehingga hari ini, katanya anggaran populasi penduduk dewasa (>18 tahun) negeri Selangor, seramai 94.0 % telah divaksinasi sekurang-kurangnya dos 1.

Namun jelas beliau, sebahagian kecil yang belum divaksinasi merupakan mereka yang tergolong dalam kategori yang tidak boleh menerima vaksin atau mempunyai kontraindikasi kepada vaksin Covid-19, manakala selebihnya merupakan golongan yang menolak vaksin.