Malaysia Dateline

132 pelajar tahfiz Masjid Sri Petaling dikuarantin

Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Sosial Malaysia (ISM) hari ini menerima kumpulan pelajar tahfiz seramai 132 orang dari Masjid Sri Petaling di Wilayah Persekutuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pelajar berumur di antara 15 hingga 17 tahun itu telah melalui proses saringan awal.

Katanya, keseluruhan mereka perlu diasingkan serta dipantau untuk satu tempoh yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seramai 80 orang petugas daripada pelbagai agensi telah dikenal pasti untuk ditempatkan di stesen ini termasuk 25 orang petugas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ISM.

“Mereka akan ditugaskan secara bergilir mengikut jadual bersama-sama dengan para petugas lain daripada APM, KKM, PDRM, PGA, Bomba,RELA dan RADICARE,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masjid Sri Petaling yang menjadi kluster terbesar jangkitan Covid-19 merupakan lokasi perhimpunan ijtimak tabligh dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Dalam pada itu, Rina berkata, ISM merupakan sebuah Institut Latihan Awam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah diwartakan pada 21 Mac 2020 sebagai salah satu Pusat Kuarantin bagi operasi menangani wabak Covid-19.

Semenjak itu, jelasnya, persiapan telah dimulakan untuk menerima kumpulan pertama Pesakit di bawah Siasatan (PUI) meliputi penyediaan tempat tinggal, keperluan makan minum, keselamatan, mekanisme saringan dan penetapan petugas dari pelbagai agensi.