Malaysia Dateline

1,328 kluster tempat kerja, 48 peratus dari sektor perkilangan

Sebanyak 48 peratus iaitu 639 daripada 1,328 kluster Covid-19 di tempat kerja setakat ini melibatkan sektor perkilangan.

Sektor tersebut sekali gus merekodkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 95,156 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada jumlah kluster yang dikesan itu, sebanyak 624,246 individu sudah disaring dalam kluster berkenaan dan daripada jumlah itu 147,040 kes dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus.

“Kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kluster tempat kerja ini terdiri daripada warga asing iaitu seramai 100,086 kes (68 peratus) berbanding rakyat tempatan seramai 46,954 kes (32 peratus),” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) berpendapat prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja perlu dipertingkatkan kerana kluster dalam sektor berkenaan semakin bertambah.

“Usaha berterusan oleh majikan dalam menjalankan ujian saringan ke atas pekerja amatlah dihargai sebagai langkah awal bagi membendung penularan jangkitan di tempat kerja,” katanya lagi.