Malaysia Dateline

135 korban Covid-19, rekod tertinggi setakat ini

Covid-19 meragut sebanyak 135 nyawa hari ini sekali gus rekod kematian harian tertinggi sejak penularan pandemik tersebut di Malaysia.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 kini mencecah 5,903 kes atau 0.73 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebelum ini, kes kematian harian tertinggi dilaporkan pada 2 Jun lalu iaitu 126 kes.

Selangor merekodkan kes kematian tertinggi hari ini iaitu 63 kes diikuti 24 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sembilan lagi kes maut dilapor di Johor, masing-masing lapan kes di Negeri Sembilan dan Melaka serta masing-masing empat kes di Sarawak dan Kelantan.

Tiga pesakit Covid-19 pula meninggal dunia masing-masing di Sabah, Pahang, dan Perak serta masing-masing dua kes di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Satu kes kematian turut dikesan di Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.