13,754 kes Covid-19 hari ini, 81 peratus lengkap vaksinasi

Oleh ARIF ATAN

Jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan penurunan dengan 13,754 kes dilaporkan hari ini berbanding 14,990 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengurangan kes Covid-19 di negara ini adalah seperti yang dijangkakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Alhamdullilah seperti yang dijangkakan trend penurunan kes harian mula diperhatikan sejak kebelakangan ini,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Bagi kes baharu hari ini, Selangor berada di tangga teratas dengan 1,985 kes, diikuti Johor (1,913), Sarawak (1,766), Sabah (1,629), Kelantan (1,264) dan Pulau Pinang (1,052).

Setakat 12 tengah hari tadi juga, Pahang merekodkan 869 kes disusuli Perak (844), Kedah (783), Terengganu (664), Kuala Lumpur (383), Melaka (292), Negeri Sembilan (175), Perlis (113), Putrajaya (14) dan Labuan (8).

Sementara itu, sebanyak 81 peratus populasi dewasa di negara ini setakat semalam sudah menerima vaksinasi lengkap Covid-19.

Golongan usia itu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian berkenaan pula mencecah 93.3 peratus.

Lembah Klang membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor merekodkan 107.9 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi dan 114.8 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Ini diikuti Labuan dengan 98.1 peratus lengkap divaksinasi dan 104.4 peratus menerima satu dos, mengikut data dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) setakat jam 11.59 malam tadi.