Malaysia Dateline

14 Adun sokong penuh pentadbiran Adly Zahari

Ekoran laporan sebuah portal berita melaporkan Melaka merupakan negeri pertama eksperimen kerajaan pintu belakang, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyatakan sokongan penuh kepada pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Adly Zahari.

Melalui kenyataan hari ini, Pakatan Harapan Melaka menegaskan kesemua Adun tersebut memberi kepercayaan kepada Adly yang terbukti berwibawa dengan kestabilan politik dan tatakelola pentadbiran yang telus.

Kenyataan itu juga menegaskan rakyat Melaka telah menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu dan ia merupakan detik bersejarah kepada Pakatan Harapan yang menerima sokongan pengundi untuk mentadbir negeri buat kali pertama.

Pakatan Harapan Melaka juga menolak sebarang tindakan memperlekehkan mandat rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihan raya.

“Fokus kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat dengan program dan dasar progredif, inklusif dan inovatif bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri.

“Kami memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada Adly untuk memimpin Melaka bagi melaksanakan janji PH,” katanya.

Menerusi kenyataan itu lagi, kesemua 14 ADUN tersebut turut mewakili rakyat Melaka.

Kesemua ADUN itu adalah, Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap-PKR), Low Chee Leong (Kota Laksamana-DAP), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh-DAP), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput-BERSATU), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-BERSATU), Damian Yeo Shen Li (Duyong-DAP), Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (Durian Tunggal-AMANAH), Datuk Gue Teck (Klebang-PKR), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang-DAP), Datuk Dr. Wong Fort Pin (Bemban-DAP), Datuk Norhizam Hassan (Pengkalan Batu-DAP), Dauk Tey Kok Kiew (Bandar Hilir-DAP), G.Saminathan (Gadek-DAP), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia-PKR).

Sementara itu, Mohd. Sofi dan Mohd. Rafiq masing-masing ADUN Durian Tunggal dan Paya Rumput ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Menurut Mohd Rafiq yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, sokongan itu disuarakan menerusi grup aplikasi whatsapps kerajaan negeri.