14 isu semasa dari kacamata Presiden Pas

14 isu semasa dari kacamata Presiden Pas

 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditemubual wartawan Sin Chew Daily baru-baru ini. Pelbagai isu politik negara dan antarabangsa dijawab beliau termasuk isu-isu kepartian. 

Ikuti semula antara butiran isu semasa yang dijawab beliau berkaitan politik semasa negara dan hal ehwal kepartian.

Isu 1 : Politik Dalaman Terengganu
Menurut Tuan Guru, isu politik Terengganu lebih bersifat politik dalaman Umno yakni perebutan tokoh-tokoh Umno untuk memegang kuasa pemerintahan yang tidak banyak berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

Katanya, Pas berhati-hati dan tidak gopoh dalam isu tersebut kerana Pas bukan berdepan dengan masalah Umno, tetapi masalah rakyat yang perlu diselesaikan.

Tegas beliau, Pas tidak mahu terbabit dalam kancah politik tersebut yang hanya untuk menyelesaikan masalah Umno antaranya sekadar tukar Menteri Besar.

Hatta jelasnya, jika Pas diberi kedudukan Menteri Besar sekalipun atau Pas bersama dengan kerajaan, ianya tidak wajar tanpa mendapat dukungan majoriti rakyat dan tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

Terangnya, biarpun Pas mendapat kelebihan, tetapi Pas tidak mahu menumpang krisis dalaman Umno itu, sebaliknya mengarahkan jentera Pas bekerja untuk mendapat sokongan dan mandat rakyat yang lebih kuat melalui pilihan raya.

Beliau juga tidak bersetuju Pilihan Raya Negeri diadakan awal daripada penggal atau tempoh ditetapkan, sebaliknya menggesa amanah yang diberikan untuk memerintah ditunaikan tanggung jawab ke atas rakyat.

Namun katanya, andai Pilihan Raya akan diadakan juga, Pas tetap bersedia menghadapinya.

Isu 2 : Hasrat Perubahan
Menurut beliau, Pas mahukan perubahan kepada negara, tetapi mestilah dalam keadaan kukuh menurut proses yang betul sebagaimana dihasratkan rakyat serta dapat menangani permasalahan negara dan rakyat, bukannya masalah parti dan peribadi.

Perkara itu jelasnya, boleh berlaku dalam keadaan ahli Umno menyertai Pas dan bersedia menerima konsep, dasar dan pembawaan yang diatur Pas untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Tegasnya, menyelesaikan masalah peribadi dalaman Umno dengan mengubah pemimpin semata-mata tanpa mengubah dasar dan pendekatan, tidak akan memberi sebarang faedah kepada rakyat.

Ujarnya, perubahan pemimpin semata-mata tanpa mengubah dasar dan pendekatan telah membuktikan bahawa masalah tetap berlaku.

Menurutnya, jika kepimpinan kini terkait dengan masalah 1MDB, pada pimpinan lalu pula berlakunya isu seumpama seperti KWSP, BMF, Perwaja dan lain-lain.

Oleh itu Pas katanya, memberi tempoh sehingga pilihan raya ini untuk menangani masalah-masalah dan isu secara telus dan adil termasuk terhadap Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dan Mahathir.

Isu 3 : Hubungan Pas dengan Umno
Pas katanya, mengambil pendekatan tidak tegang, kerana dalam negara demokrasi sepatutnya hubungan tidak tegang dengan semua pihak di mana saling menghormati pandangan yang berbeza.

Dalam hal ini, Pas ujarnya, mengambil konsep al-Quran iaitu bertolong-menolong dalam perkara baik dan tidak bertolong-menolong dalam perkara yang buruk.

“Dengan sebab itu kita mengkritik kerajaan dalam perkara yang salah. Perkara yang betul, kita menerima secara positif,” terangnya.

Tegasnya juga, Pas tidak mungkin membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Umno kerana dasar yang berbeza.

Isu 4 : Deklarasi Mahathir
Jelasnya lagi, Pas tidak menyokong sepenuhnya deklarasi itu kecuali transformasi yang positif iaitu benar-benar mahukan perubahan dasar, konsep dan pendekatan menyelesaikan masalah.

Adapun katanya, transformasi negatif iaitu sekadar mengubah pemimpin, namun mengekalkan Umno dan dasar serta pendekatannya, maka itu tidak disokong Pas.

Pas juga ujarnya, menegaskan bahawa perubahan perlu dilihat kepada demografi penduduk dalam negara.

“Kita perlu menyedari bahawa 60 peratus penduduk adalah orang Melayu Islam. Sepatutnya mereka menguasai politik negara dengan matang dan baik. Kita juga wajib menerima wujudnya masyarakat majmuk, kaum Cina, kaum India, kaum khalayak sebahagian daripada kita.

“Islam menganggap kita satu keluarga walau kita berbeza. Pendekatan berdasarkan kepada kepentingan kaum yang Umno bawa pada hari ini, Melayu sahaja. Meminggirkan kaum yang lain, berlaku ketegangan, dalam keadaan masalah Melayu pun tak selesai, Bumiputera tak selesai, ekonomi masih keadaan jauh.

“Dalam masa yang sama, hanya segelintir kaum Cina yang kaya, mengumpulkan kumpulan Kapitalis yang besar, kekayaan itu kalangan tertentu tak boleh selesai masalah. Dengan sebab itu kita perlu mengambil pendekatan secara keluarga, menerima hakikat demografi penduduk yang ada di sini tanpa ketegangan kaum,” lontar beliau.

Isu 5 : Pas Mempertahankan Najib?
“Itu satu anggapan yang salah, kerana kita mahu berkonsisten, disebut istiqamah. Yang betul, kita tak boleh nafikan. Di mana, memberi kemudahan infrastruktur kepada rakyat, menyediakan kemudahan asas, bantu orang miskin, itu satu konsep yang betul.

“Tetapi berlakunya kebocoran, penyelewengan, rasuah. Ini salah, bagi subsidi tak betul, orang yang tak layak dapat, itu salah. Kita kena sedari perkara ini, yang perlu kita betulkan. Tidak bermakna kita nak mendokong dan menyokong kerajaan ini.

“Kita masih lagi pembangkang. Kita masih menghadapi pilihan raya dan kita bertanding lawan Umno dalam pilihanraya,” tegas Tuan Guru.

Isu 6 : Mahfuz dan Husam
Jelas beliau, Pas Pusat menunggu laporan daripada Pas Kawasan dan Pas Negeri masing-masing, sejauhmana tindakan mereka itu melanggar disiplin.

Katanya, berbeza dengan kehadiran Datuk Mustafa Ali dan Dr Khairuddin pada perjumpaan Tun M yang pertama itu dengan izin daripada parti, tetapi kehadiran Mahfuz dan Husam dalam majlis kedua tanpa keizinan parti.

Akuinya, mereka itu masih lagi ahli Pas, namun mengambil tindakan secara bersendirian dan bercanggah dengan moral berorganisasi.

“Itu yang berlaku, tak ikut disiplin. Dengan sebab itu, ini perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin. Terpulang kepada jawatankuasa mendengar laporan-laporan yang diterima, di mana tindakannya tidak terburu-buru.

“Iaitulah tindakannya sama ada memberi amaran, memberi peringatan, memberi nasihat, menggantung daripada ahli dan memecat. Itu adalah merupakan undang-undang tatatertib yang wujud dalam Perlembagaan Pas,” maklum beliau.

Isu 7 : Dakwaan Pas  Semakin Lemah
Beliau berlainan pendapat terhadap dakwaan itu kerana menurutnya realiti berlaku Pas menerima keahlian yang meningkat.

Perkara itu katanya, lantaran Pas lebih mendapat kepercayaan rakyat kerana konsisten di dalam perjuangan menegakkan kebenaran, menentang kebatilan dan kemungkaran serta penyelewengan yang berlaku.

Malah Pas ujarnya, tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak, termasuk kerajaan, sedangkan parti-parti lain mengalami perpecahan.

“Pas hanya mengalami serpihan sahaja. Mereka yang keluar Pas menubuh Parti Amanah Negara (Amanah) di mana ahlinya tak sampai 1 peratus daripada 1.1 juta ahli Pas sekarang, tak sampai 1 peratus jumlah mereka. Kita menganggap sebagai serpihan.

“Sedangkan mereka yang menyertai Pas lebih kurang 5,000 tiap-tiap bulan, khususnya kalangan muda dan kalangan profesional, pendidikan tinggi. Ini keadaan yang sangat menarik.

“Kita juga mendapat sokongan daripada kalangan bukan Islam, termasuklah mereka yang keluar DAP atau diambil tindakan oleh DAP. Daripada NGO-NGO, yang tidak mahu pendekatan ketegangan,” terangnya.

Menurut beliau, pendekatan sederhana dan damai Pas telah menarik dokongan hingga dapat membentuk Blok Ketiga sebagai satu wadah mengumpulkan kesatuan itu.

Jelasnya, pertembungan dalam demokrasi damai berbeza dengan peperangan, di mana perang membunuh dan menawan mangsa seramai mungkin, tetapi demokrasi ialah menawan hati rakyat.

“Menarik rakyat kepada pendekatan yang lebih baik. Ini penting, ini pendekatan yang kita ambil pada hari ini, dan kita dapati sangat positif,” optimistiknya.

Isu 8 : Gabungan Baharu
Terangnya, dalam hubungan kerjasama politik bersama parti-parti lain terdiri daripada Perikatan, BN, Semangat46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat hanya ‘merapati siling’ tetapi tidak menyelesaikan masalah.

Dengan sebab itu Pas katanya, perlu mengambil pendekatan baru dengan berhubung semua pihak serta mengambil penyelesaian lain untuk menembusi siling yang menyekat perjalanan Pas.

“Demografi penduduk saya sebut 60 peratus orang Islam, 30 peratus lebih kurang Cina, yang baki itu India dan lain-lain. Di mana, untuk menguasai politik negara mestilah Pas menguasai 60 peratus orang Melayu Islam.

“Dalam masa yang sama Pas tidak boleh mengenepikan kaum Cina, kaum India, ini perlu diambil. Apa yang berlaku hari ini, Umno bertubi-tubi menguasai 60 peratus orang Melayu tanpa mengira Cina dan India.

“DAP pula nak mengutamakan kaum Cina sahaja, tanpa peduli demografi 60 peratus orang Melayu Islam. Ini tidak boleh. Dengan sebab itu, kita mengambil pendekatan yang pertengahan ini,” jelas beliau.

Menurutnya, Parti Ikatan pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengambil kalangan profesional, pegawai kerajaan, perkhidmatan awam, polis dan tentera, selain NGO pelbagai.

“Kita masih lagi membuka ruang kepada mana-mana parti politik walaupun di anggap kecil menyertai, dan kita menunggu pecahan dan serpihan daripada berbagai parti untuk menyertai Parti Ikatan ini,” terangnya.

Isu 9 : Kekuatan Pas
Akui beliau, Pas akan memimpin kekuatan ini dan Pas telah membuktikan berjaya mengumpulkan jumlah besar, termasuk pada tiap-tiap himpunan yang Pas adakan di seluruh negara.

“Bersih dahulu, bila Pas menyertai himpunan ianya besar. Bila Pas tarik diri, himpunannya sudah jadi tak besar. Di sini perlu mereka sedar, siapa Pas ini. Tak boleh pandang kecil terhadap Pas ini.

“Pas mempunyai peranan yang penting dalam politik negara, walaupun Pas tidak pernah menguasai kerajaan Pusat, tetapi mereka merupakan satu tonggak yang tak boleh dipandang kecil dalam politik negara,” tegasnya.

Beliau turut menyanggah tanggapan bahawa gabungan bersama Parti Ikatan adalah pilihan yang tidak bijak dan lemah.

Tegas beliau, tiada sesuatu pun yang dilahirkan ke dunia terus kukuh serta merta, di mana asas perlu dibina terlebih dahulu diikuti prosesnya.

Isu 10 : Proses Melaksanakan Hudud
Pelaksanaan hudud mestilah melalui mahkamah yakni proses kehakiman dan kewujudannya secara adil dan telus sedang diusahakan melalui Kerajaan Negeri Kelantan agar hudud dapat dikuatkuasakan.

Tegasnya, hudud adalah hukum yang mendidik dan bukan mendera, di mana seandainya terdapat 99 peratus kecenderungan hukum, namun terdapat 1 peratus keraguan, ia akan dibawa kepada hukuman lebih ringan.

Daripada 100 peratus hujah dalam kes Hudud, sekiranya 99 peratus, mesti dihukum. Tetapi ada 1 peratus diragukan, tak boleh dihukum, mesti direndahkan pada hukuman yang lebih ringan.

“Proses politik sudah selesai bagi peringkat negeri Kelantan. Proses politiknya ialah, kita melalui majoriti besar di Kelantan (1990) dan Terengganu (1999). Kita tak terburu-buru di mana undang-undang jenayah, bukan hudud sahaja, jenayah Islam iaitulah Qisas, Hudud dan Takzir.

“Sudah disediakan oleh pakar undang-undang, sama ada undang-undang Islam ataupun undang-undang Barat. Melibatkan bukan sahaja ulama dalam Pas, termasuklah Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara; Professor Ahmad Ibrahim daripada Fakulti Undang-Undang, bekas Peguam Negara Singapura, Ahmad Ibrahim dan lain-lain lagi.

“Setelah digubal, diseminarkan, dibentang kepada parti-parti politik Islam dan bukan Islam, NGO Islam dan bukan Islam. Sampai situlah barulah dibawa ke Dewan Negeri dan diluluskan melalui Dewan Negeri.

“Setelah diluluskan, digazet, tak dilaksanakan kerana perlu kepada sistem kehakiman terlebih dahulu. Sistem kehakiman ini memerlukan penyelesaian kepada Perlembagaan, di mana kedudukan Islam dalam perlembagaan masih tidak kuat, masih lagi menghayati British yang menjajah kita dulu.

“Dalam masa yang sama, taraf Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Dia punya prosedur masih lagi warisan daripada zaman Umno. Dengan sebab itu, kita betulkan yang ini dulu melalui proses perlembagaan termasuklah di peringkat Parlimen.

“Rundingan perlu dibuat di antara Kerajaan Negeri Kelantan peringkat Mahkamah dengan Mahkamah kerajaan pusat untuk betulkan prosedur mahkamah, saksinya, hakimnya dan lain-lain terlebih dahulu,” perincinya.

Isu 11 : Persiapan Pilihan Raya Umum
Pilihan Raya lalu katanya, Pas mengambil pendekatan menumpu kepada Kerajaan Negeri, tetapi perubahan tidak dapat dilakukan tanpa menguasai Kerajaan Pusat.

“Kita sedang melihat DAP yang memerintah Pulau Pinang tidak boleh menyelesaikan masalah kaum di Pulau Pinang sebagaimana Kelantan menyelesaikan masalah kaum. Kelantan kita menyelesai masalah kaum di Kelantan, dengan keamanannya dengan apa.

“Dan timbulnya pergolakan dalam DAP yang semua kaum Cina pun tahu. DAP tidak mempunyai sesuatu kekuatan yang boleh membantu kita untuk sampai ke puncak pemerintahan. Dan dalam DAP banyak kalangan yang kita tahu, kita kenal hasil pergaulan kita masa kerjasama ini.

“Banyak yang kita kenal dalam DAP mahukan perubahan yang ada titik persamaan dengan kita. Dengan sebab itu dalam hari ini kita tidak risau berpisah dengan DAP. DAP juga berpecah, dan akan berlaku pecahan daripada DAP ini akan mendokong kita.

“Sama ada mereka bertanding di atas nama Dewan Himpunan Pas. Pas bersedia untuk mencalonkan mereka yang keluar DAP yang menyertai Dewan Himpunan, ini dah ada di Perak,” akuinya.
Menurut Tuan Guru, banyak maklumat mengenai Pas tidak sampai kepada orang bukan Islam melalui media-media yang dibaca oleh mereka hingga tidak mendapat maklumat sebenar mengenai tindakan Pas.

Untuk mengatasi perkara itu ujarnya, Pas berusaha mengambil manfaat daripada media baharu, internet, TV internet, pengedaran CD dan seumpamanya.

Kerana katanya, ceramah terhad dan memerlukan keizinan, manakala surat khabar Harakah hanya dibenarkan permit dua kali seminggu dan dalam masa yang sama siaran ke bahasa lain memerlukan kebenaran.

Menyentuh persediaan tanpa kerjasama DAP dan PKR, Pas akuinya, akan bertanding di Dun atau Parlimen terbabit melalui calon Dewan Himpunan Penyokong, bahkan sedia menghadapi tiga penjuru atau lebih.

Isu 12 : Beri Kelebihan Pada Umno?
“Tidak semestinya kelebihan kepada Umno, boleh kelebihan kepada kita. Tiga penjuru boleh berlaku protes daripada DAP, protes daripada BN sendiri yang menjadi tiga penjuru akan berlaku begitu. Dengan sebab itu kita yakin kadang-kadang tiga penjuru ini boleh memenangkan kita.

“Kerana mereka yang protes dengan BN itu, kalau serpihan mereka tak bertanding, tak jadi tiga penjuru. Tiga penjuru boleh berlaku dengan cara yang positif. Itu kita akan nilai daripada semasa ke semasa,” jelas beliau.

Isu 13 : Isu Banglo LGE
“Sebarang kes dan tuduhan mesti dirujukkan kepada pihak berkenaan dengan cara yang adil dan telus. Kepada saya, mengikut kaedah kehakiman Islam. Seseorang yang dituduh tidak dianggap salah sehingga dibuktikan kesalahannya.

“Apa yang berlaku pada hari ini seolah-olah masyarakat menghukum dia bersalah. Itu satu pendekatan yang salah, kita perlu mengambil pedekatan yang adil. Jangan bila ada tuduhan, sudah dianggap dia bersalah, itu tak betul, tak betul, tak boleh.

“Orang yang dituduh tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahan dia. Itu kaedah kehakiman kita,” tegasnya.

Isu 14 : Berbaik Semula dengan DAP?
Akui beliau, perkembangan-perkembangan akan datang hal tersebut adalah tidak mustahil kerana perubahan sentiasa berlaku, contohnya hari ini DAP tidak menerima hudud, namun di masa depan mungkin menerimanya.

“Melihat kepada perkembangan terkini dibanding dengan masa yang lalu, dahulunya Pas ini tertutup kalangan orang Melayu Islam sahaja. Hari ini Pas sudah menerima kalangan bukan Islam.

“Kita telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan kita dengan orang yang bukan Islam, khususnya melalui pendekatan kita di Kelantan dalam masa 20 tahun lebih kita memerintah. Dan di Terengganu satu penggal sahaja. Kita berjaya menembuskan tembok ini.

“Dan terdapat kalangan bukan Islam yang bersedia untuk menjadi ahli Pas sehingga kita terpaksa membuat pindaan dalam perlembagaan parti, membolehkan orang bukan Islam menjadi satu sayap kepada parti kita, Dewan Himpunan.

“Itu perkembangan yang baru. Perkembangan ini akan memberi keadaan yang sangat positif kepada perkembangan Pas di masa yang akan datang,” akuinya bahawa Pas mempunyai kewajipan menyelamat semua manusia.

CATEGORIES