14 juta pengundi Malaysia pilih siapa?

Shamsul Maarif Ismail

Walaupun Malaysia diberitakan mempunyai tiga puluh juta penduduk dari pelbagai bangsa, kaum dan agama serta bahasa namun hanya hampir sekitar lima puluh peratus rakyatnya sahaja yang layak sebagai pemilih atau pengundi.

Hampir empat juta pengundi muda yang sudah layak memohon tidak memohon sebagai pengundi dengan pelbagai sebab yang boleh disenaraikan. Sudah tentu walaupun mereka ini hidup di tanah air kita sebagai rakyat Malaysia namun sikap tidak prihatin untuk menentukan masa depan politik Negara amat membimbangkan.

Maka nantinya Pilihanraya Kali Ke-14 yang jatuh pada hari Rabu bersamaan 9 Mei 2018 seperti yang telah diistiharkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya akan menentukan nasib dan masa depan Negara. Sudah tentu pengundian awal melalui pos termasuk akan dikira dan dijumlahkan bagi menentukan seluruh 222 kawasan Parlimen di seluruh Negara jatuh ke tangan siapa.

Terdapat pelbagai tanggapan yang kurang menarik mengapa tarikh ini dipilih pada hari bekerja apatah lagi di tengah minggu bekerja. Mengapakah SPR tidak memilih hari Sabtu atau Ahad dimana majoriti besar para pengundi mempunyai kesempatan lebih besar untuk keluar mengundi. Hanya SPR yang boleh menjawab persoalan ini.

Apa yang pasti para pengundi yang rata-rata mencari makan di bandar terpaksa pulang ke kampung halaman dan mengambil cuti lebih dari sehari. Dengan pengangkutan awam yang terhad maka balik kampung untuk mengundi boleh menjadi satu trauma kepada para pengundi untuk menjalankan hak mereka sebagai rakyat jelata.

Seorang Ulamak Islam Sheikh Ibnu Taimiah wafat pada 768H menulis dalam bukunya Siasah Syar’iyyah fi Islah al-Ra’ai wal ra’iyyah mengambil ayat 58-59 Surah Al-Nisa sebagai teras perbincangan utama berkait dengan urusan kekuasan dan pentadbiran umat seperti berikut

58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

59. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

Sesungguhnya mengurus sesuatu urusan umat dan Negara adalah urusan agama yang besar dan menuntut amanah ini diberikan kepada yang paling beramanah dan terbaik di kalangan manusia.

Terdapat hadis yang menyebut bahawa Nabi s.a.w menyatakan barangsiapa orang Islam yang diserah mengurus sesuatu urusan umat sedangkan ada di antara mereka yang lebih layak dan mampu melaksanakan urusan tersebut dengan lebih baik (yakni tidak diberikan kepada orang yang paling baik di kalangan mereka) maka mereka telah mengkhianti Allah dan Rasul. (Riwayat Al Hakim dalam Sahihnya).

Arahan utama Nabi di sini ialah yang paling terbaik di kalangan umat dalam mengurus dan memimpin Negara hendaklah dipilih dan dilantik dan bukannya yang baik-baik sahaja. Bahkan jauh sekali dari melantik di kalangan mereka yang tidak mempunyai integriti, pecah amanah, zalim, buruk akhlak dan kelakuan. Ataupun jelas secara umum akan kelemahan, keburukan serta gagal mentadbir dengan amanah dan beretika.

Rasulullah s.a.,w bersabda: “Jika amanat telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya; ‘bagaimana maksud amanat disia-siakan? ‘ Nabi menjawab; “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (Imam Bukhari – 6015)

Rakyat juga hendaklah memilih Penguasa yang mampu melakukan keadilan dengan sebaik-baiknya. Pengertian adil di sini adalah adil secara umum, tidak berat sebelah memihak salah satu golongan, terutama kelompok yg berkaitan dengan dirinya atau menguntungkan dirinya. Allah SWT berfirman dalam Surah Shaad ayat 26:

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan.”

Sekarang terserahlah kepada kebijaksanaan para pengundi untuk membuat pilihan bagi masa depan Negara. Jika anda yakin dengan sistem cukai GST yang telah menyebabkan kos harga barang semakin naik silalah undi BN. Akan tetapi jika anda mahu sistem cukai ini dihapuskan dan digantikan dengan sistem percukaian yang lebih adil maka undilah Pakatan Harapan (PH).

Jika anda mahu sistem Negara terus dipilih dari kalangan mereka yang mempunyai persepsi integriti yang lemah, banyaknya kes rasuah yang melibatkan pegawai kerajaan dan rekod buruk pengurusan kewangan Negara maka teruslah mengundi BN. Namun jika anda mahu melihat sistem pentadbiran Negara mengalami perubahan ke arah lebih baik, lebih keras terhadap rasuah dan salah guna kuasa dan reformasi institusi maka undilah PH.

Jika para pengundi mahu lupakan sahaja isu 1MDB dan Jo Lhow terus berlayar di lautan lepas silalah undi BN atau lambang dacing itu, namun jika para pengundi mahu kes ini dibicarakan secara adil dan tuntas dan jika mereka yang bersalah didakwa atau sebaliknya jika mereka memang tidak dapat dibuktikan bersalah maka bolehlah mereka dilepas bebas dengan adil dan bermaruah silalah undi PH.

Jika para pengundi mahu Negara terus menambah hutang yang teramat tinggi setiap tahun serta berbelanja secara gelojoh dan rakus silalah terus mengundi BN. Namun jika pengundi mahu sebuah kerajaan baru yang akan menimbang semula pengurusan jumlah hutang yang terlalu besar ini dan merumuskan kaedah cara perbelanjaan mengurus Negara dibuat secara berhemah, menutup segala punca ketirisan wang Negara ke tangan yang tidak berhak, menyusun dan membayar semula hutang negara hingga habis seperti Negara Turkey di bawah Kepimpinan Erdorgan maka pilihlah PH untuk memerintah pada masa akan datang.

Jika Turkey dulu terkenal sebagai sebuah Negara paling miskin di Eropah dan hutangnya yang terlalu besar serta tiada masa depan yang kukuh, kini mereka merupakan kuasa ekonomi paling kuat di Eropah dan sudahpun melupuskan hampir semua hutang-hutangnya hingga boleh membangunkan Negara dengan pantas.

Lantaran besarnya isu memilih kepimpinan Negara maka rakyat dan pengundi mestilah keluar mengundi walaupun di sana ada pelbagai cabaran masa dan cuti tambahan yang perlu dipohon. Anggaplah ini adalah satu perjuangan yang menuntut sebuah pengorbanan. Pengorbanan bagi membina masa depan Negara.

Program Dialog warga, wacana Manifesto, ceramah kelompok dan pelbagai kempen melalui media sosial secara sihat oleh parti hendaklah diadakan bagi memahamkan rakyat sesebuah polisi dan dasar yang akan menentukan baik buruknya Negara kita untuk lima tahun lagi.

Dengan erti kata lain rakyat perlu kepada literasi ilmu yang bersangkutan masa depan Negara dengan bahasa yang mudah difahami. Hanya dengan ilmu dan mesej yang jelas maka para pengundi samada muda, tua, pengundi tegar mahupun pengundi atas pagar boleh membuat keputusan dengan jelas dan bukan oleh tawaran muluk dan janji manis tokoh politik murahan serta mainan psi-war yang menjelikkan!

Apa pun keputusan akhir PRU Ke-14 pada malam 9 haribulan Mei 2018 akan menjadi satu lagi noktah sejarah besar negara. Rakyat mahu berubah atau masih mahu kekalkan status lama (status cuo) sejak enam puluh tahun Parti Perikatan dan kini Barisan Nasional memerintah. Dan untuk kesekian kalinya bagi lima tahun lagi. Semuanya terserah kepada para pengundi yang bijaksana.

Rakyat yang memilih! Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepada kami dan anda sekalian.

CATEGORIES
TAGS