14 Ketua Bahagian dan 6 Exco digesa mohon maaf kepada Sultan Kedah

14 Ketua Bahagian dan 6 Exco digesa mohon maaf kepada Sultan Kedah

Kesemua 14 Ketua Umno Bahagian yang terlibat secara langsung dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang tidak hadir mensyuarat Exco didesak memohon maaf secara rasmi kepada Sultan dan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, desak Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz MahathirKesemua 14 Ketua Umno Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak  dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang tidak hadir mensyuarat Exco didesak memohon maaf secara rasmi kepada Sultan dan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah desak Menteri Besar  Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam perkembangan terkini dijangka esok semua Ahli Dewan Undangan Negeri Umno-BN akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk membincangkan krisis politik di negeri itu yang akan diadakan di Wisma Darul Aman.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

“Kesemua 14  Ketua  Umno  Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari lalu, dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang tidak hadir  mensyuarat Exco  pada 27 Januari lalu, di desak untuk memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau  lebih kesal  apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

“Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media tersebut, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri Mesyuarat Exco pada hari Rabu, 27 Januari 2016 yang lalu.

“Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai Penjawat Awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

“Sebagai Exco , keengganan menghadiri mesyuarat menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

“Saya dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan turut murka dengan keingkaran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan,” ujar Mukhriz.

Terdapat 10 Exco termasuk Mukhriz, tetapi hanya tiga orang sahaja yang dikatakan hadir iaitu Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Menurut Mukhriz lagi, tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam Umno mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari lalu adalah tidak bertanggungjawab.

“Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat.

“Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli Umno dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah.

Perbuatan kumpulan ini telah mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli UMNO yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah,” ujarnya.

Justeru sehingga kemelut ini selesai, setiap Exco dan Adun melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Selain itu, pada26 Januari lalu, Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut mengeluarkan kenyataan media dan bertitah supaya pihak yang terbabit dengan kemelut politik itu tidak mengheret rakyat ke kancah pertikaian tersebut.

Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut menafikan sebarang peranan Istana Anak Bukit dalam krisis politik yang sedang berlaku dan menegaskan institusi DiRaja Kedah adalah bersikap berkecuali atau “non-partisan”, serta ahli-ahli majlisnya adalah neutral, tidak berat sebelah.

TAGS