Malaysia Dateline

14 negeri di India isytihar tolak undang-undang kewarganegaraan

Setakat ini sebanyak 14 negeri di India mengisytiharkan tidak akan melaksanakan undang-undang kontroversi berkaitan kewarganegaraan yang disifatkan mendiskriminasi orang Islam.

Selasa lalu, negeri paling selatan di negara itu, Kerala malah membawa isu berkenaan ke Mahkamah Agung, mencabar undang-undang baharu yang dikenali sebagai Citizenship Amendment Act (CAA) itu.

Negeri-negeri yang mengingkari kerajaan pusat itu termasuk Bihar, yang diperintah oleh parti Janata Dal – sekutu parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP), menurut laporan Anadolu Agency hari ini.

BJP dan sekutunya menguasai 16 negeri, sementara 13 dikuasai oleh pelbagai parti pembangkang. Apabila Bihar juga turut menentang, jumlah negeri yang menentang undang-undang tersebut menjadi 14.

Dalam petisyennya, kerajaan negeri Kerala berkata, CAA perlu diisytiharkan bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan India, yang menjanjikan kesamarataan dan kebebasan.

India menyaksikan bantahan berterusan terhadap undang-undang tersebut sejak ia diluluskan oleh Parlimen dan mendapat persetujuan presiden pada 12 Disember lalu.