Malaysia Dateline

14 penumpang kapal Diamond Princess dijangkiti Covid-19, kata Jabatan Negara AS

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan 14 rakyatnya yang dipindahkan dari kapal persiaran Diamond Princess diuji positif Covid-19

Jumlah itu tambahan kepada 40 rakyat Amerika yang berada di Jepun selepas didapati positif dijangkiti virus itu sebelum proses penghantaran balik.

“Semasa proses pemindahan, selepas penumpang turun dan dibawa ke lapangan terbang, pegawai AS menerima notis 14 penumpang diuji positif COVID-19,” lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan Jabatan Negara pada Isnin.

Menurut kenyataan itu penumpang yang dijangkiti telah diletakkan di satu ruang khas dalam pesawat berkenaan.

Secara keseluruhan, kira-kira 300 warga Amerika telah dipindahkan, 40 daripadanya dimasukkan ke hospital di Jepun.

Kapal persiaran Diamond Princess dikuarantin di pelabuhan Yokohama pada 3 Feb dan akan berada di sana sekurang-kurangnya sehingga 19 Feb. Terdapat 3,700 penumpang dan jumlah yang dijangkiti meningkat setiap hari.– BERNAMA