Malaysia Dateline

14 usahawan Kedah ikuti ekspo produk wilayah utara di Pattani

Seramai 14 usahawan dari Kedah terpilih untuk menyertai ekspo produk usahawan Wilayah Utara di Pattani, Thailand yang akan berlangsung mulai 27 Februari sehingga 3 Mac depan.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Datuk Dr Ismail Salleh.

Jelas beliau, dengan adanya ekspo usahawan tersebut ia membuka peluang kepada usahawan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan juga Perak untuk melebarkan sayap perniagaan mereka.

“Majoriti dari produk yang diketengahkan merupakan produk usahawan Bumiputera bertaraf perusahaan kecil dan sederhana.

“Dengan penyertaan ini ia memberi ruang bagi usahawan terlibat untuk mengembangkan lagi pasaran mereka ke negara lain.

“Menjadi harapan kita agar usahawan dari luar bandar dapat memiliki minda keusahawanan global, ” tegasnya.

Malah kata Dr Ismail lagi, antara kekuatan yang ada ialah jenama halal yang diyakini sehingga keserata dunia serta begitu yakin dengan cop halal negara ini.

Ujarnya, usaha membawa usahawan tersebut ke ekspo yang akan diadakan nanti turut mendapat sokongan beberapa agensi seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kumpulan UNITI Asia.

“Lima daripada usahawan yang akan mengikuti ekspo yang akan diadakan di Asean Mall, Pattani adalah mereka yang juga merupakan usahawan TEKUN, MARA serta usahawan bimbingan unit Pembangunan Usahawan Kedah.

“Pemilihan mereka adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria yang telah ditentukan.

“Antaranya ialah produk dan pembungkusan yang baik serta memiliki sijil halal, ” tambah beliau.